Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apa hukum bekerja di bank komersial Eropah di bahagian pengurusan data? Bahagian pengurusan data hanya menjaga dan kawal data statik tapi saya masih ragu-ragu sama ada kerja saya ini dibenarkan syarak atau tidak
Jawapan
Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sungguh yang halal itu jelas, yang haram pun jelas. Dan di antara keduanya ada perkara yang syubhah, yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Maka barangsiapa yang menghindari syubhah, maka berarti dia telah membebaskan agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara syubhah, maka dia jatuh dalam perkara yang diharamkan. Seperti seorang gembala menggembalakan di sekitar tanah larangan. Hampir saja dia masuk dalam tanah larangan itu.
Sekiranya pengurusan data tersebut berkaitan dengan transaksi berkaitan dengan riba atau seumpama dengannya, maka hukum perkerjaan tersebut adalah haram. Walaupun sekiranya pekerjaannya itu tidak langsung melibatkan transaksi berkaitan riba, bekerja di tempat yang aktivitinya atau hasilnya seratus peratus melibatkan riba, seperti di bank konvensional, maka ia tetap mengandungi unsur syubhah yang patut dielakkan.