Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Saya memohon maaf terlebih dahulu Ustaz jika penulisan dan pertanyaan saya ini panjang. Selagi saya tidak bertanya dan memohon pencerahan hati ini tidak tenang. Allahuakbar. Alhamdulillah dengan izin Allah saya bersama ibu dan makcik saudara telah selesai mengerjakan ibadah Haji pada tahun ini 1444H/2023M. Kami mengerjakan Haji Tamattu', yakni mengerjakan ibadah Umrah terlebih dahulu, kemudian ibadah Haji. Alhamdulillah Allah bantu permudahkan segala urusan ibadah kami semasa di Mekah dan Madinah. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dengan izin Allah. Betul dugaan ujian semasa mengerjakan ibadah haji ini, saya berperang dengan was-was dan saya berjaya melawannya. Satu persatu segala kemusykilan, pertanyaan dan persoalan semuanya saya akan merujuk bantuan pembimbing Ibadah Haji dengan banyak bertanya bagi menyempurnakan ibadah rukun Haji dan wajib Haji dalam perlaksanaan ibadah Haji Tamattu.
Persoalan yang saya ingin bertanyakan ini semasa di Mekah, saya tidak terfikir dan terlintas langsung, tetapi selepas pulang ke tanah air, tiba-tiba perasaan ini datang setiap masa. Setelah pulang kembali ke tanah air, perasaan was-was yang mulanya saya yakin dahulu dia datang mengganggu saya. Saya menjadi tidak tenang.
Persoalan saya adalah semasa Umrah Wajib mula-mula dahulu semasa saya dalam keadaan berwudhuk sebelum melakukan tawaf, saya rasa was-was antara terkentut atau tidak. Macam ada keluar angin, tetapi pada ketika itu saya yakin bukan kentut. Saya dengan yakin terus melaksanakan tawaf dengan yakin sempurna dan menyempurnakan Saie dan bertahalul. Kemudian selepas selesai Umrah Wajib, saya tidak melaksanakan Umrah Sunat sepanjang berada di Mekah, tetapi hanya melaksanakan Tawaf Sunat sahaja.
Sekarang ini perasaan yang dahulu yakin tadi, berbubah menjadi tidak yakin, was-was datang mengatakan saya terkentut. Jadinya saya terfikir macam-macam bagaimana status Haji saya ini? Status Umrah Wajib saya yang dahulu bagaimana? Saya masih dalam berihram ke? Adakah masih lagi terikat dengan 13 pantang larang ihram walaupun saya dah selesai menyempurnakan Haji. Hubungan dengan isteri, ibadah seharian, perasaan ini mengganggu saya. Saya rasa takut dan tidak tenang. Sampai satu tahap, saya terfikir saya perlu membayar dam untuk menghilangkan rasa was-was ini. Apakah kaedah bayaran damnya? Perasaan yang dahulu yakin, menjadi was-was. Mohon bantu saya Ustaz untuk pencerahan dan menyelesaikan masalah saya ini. Allahuakbar. Tiada Daya Dan Upaya Melainkan Dengan Pertolongan Allah Semata-mata.
Jawapan
Segala amalan dan ibadah yang dilakukan dan diyakini sah pada ketika melaksanakannya, maka ia dikira sah dan tidak perlu diulang. Situasi ini berlaku hanya disebabkan was-was yang terdetik dalam hati berpunca daripada gangguan syaitan yang menipudaya manusia. Antara perkara yang boleh dilakukan bagi menghilangkan was-was adalah dengan memohon perlindungan Allah SWT daripada segala gangguan syaitan dengan berdoa seperti berikut;
Maksudnya: Aku berlindung dengan kalimah Allah SWT yang sempurna daripada kejahatan apa yang diciptakan-Nya.
Semoga ibadat tuan diterima dan dijauhi daripada sebarang gangguan syaitan dalaman mahupun luaran.