BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanyakan perkara mengenai lafaz cerai diantara ibu dan ayah saya. Pada awalnya ayah saya berselisih faham dengan adik saya dan telah menampar adik saya yang hanya berumur 4 tahun dengan alasan kurang ajar. Adik saya menangis dengan lantang dan ibu saya mula bertanya apa yang terjadi. Jadi bermula lah perang mulut antara ayah dan ibu sehingga membawa kepada perkara adik beradik ayah saya. Ayah saya begitu berang dan ingin menampar ibu tetapi dihalang saya. Tidak semena-mena ayah saya menjerit-jerit seperti tidak siuman berkata 'panggil abang-abang kau, aku boleh lempang kau. Selepas itu ayah saya mengamuk dan mengatakan 'aku cerai talak dua' dihadapan saya tetapi ibu masih tidak sedar kerana adik masih menangis. Saya begitu terkejut terus kata 'ayah sedar tak apa ayah cakap?'. Langsung dia diam dan membebel perkara lain. Bersiap dan ingin keluar rumah. Larut malam balik rumah saya tanyakan pada ayah sedar atau tak apa yang dikatakan tadi dia hanya jawab 'biarlah sedar ke tak' saya tanya lagi 'tahu tak apa cerai' dia pun diam. Tanya berapa banyak talak boleh bagi pun dia tidak tahu.
 

Boleh ke saya anggap ayah saya tidak waras ketika itu kerana ayah saya seorang yang tidak berpengetahuan agama dan tidak dapat beza apa betul apa salah. Untuk pengetahuan dia tidak boleh membaca rumi dan hanya mengenal nombor. Saya bukan hendak membuka pekung di dada tapi saya perlu jelaskan bahawa ayah saya sememangnya jahil tentang ilmu agama sehingga tidak dapat bezakan halal dan haram sesuatu perkara (jika ditegur melenting). Saya pasti ayah saya tidak faham langsung tentang penceraian dan apa akibat daripada lafaz tersebut. Sisi lain, seringkali ayah saya bersikap kebudak-budakan sekiranya marah. Bayangkan ayah yang dah berusia 57 tahun jika tidak puas hati  meludah merata, kuatkan volume tv maximum, sepahkan kain dalam bilik dan keluar rumah menjerit kata diri bodoh. Bukan sekarang tapi dah hampir puluhan tahun begitu sampai kami semua dah lali termasuk jiran tetangga. Adakah dikira sah lafaz cerai tersebut jika dilafazkan oleh ayah saya yang berkeadaan sebegitu?
 

Saya faham bahawa perkara sebegini perlu dirujuk terus ke mahkamah syariah tetapi saya memerlukan penjelasan untuk menerangkan  kepada kedua ibu ayah supaya dapatkan rujukan kerana perkara ini bukan lah main-main. Saya mahu yang terbaik dan selamatkan semua daripada terjebak dengan dosa akibat sekiranya perkara ini berlaku.  
 

Terima kasih kerana sudi membalas pertanyaan saya yang panajng dan saya dahului dengan ucapan terima kasih kepada pihak Mufti Selangor.

Assalamualaikum wbt.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Nabi SAW  menegas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak)(Riwayat Abu Daud).

Hadis di atas jelas menunjukkan larangan untuk tidak bermain-main dalam tiga perkara tersebut, terutama dalam urusan yang melibatkan talak kerana ia boleh menyebabkan kepada terputusnya hubungan antara suami dan isteri. Suami hendaklah senantiasa berhati-hati dalam menuturkan perkataan terutama ketika berlakunya salah faham atau perselisihan faham antara pasangan, agar tidak berlaku pertikaian di kemudian hari.

Lafaz talak yang sorih atau lafaz yang jelas dan sempurna ayatnya, apabila dilafazkan oleh suami kepada isterinya, walaupun tanpa niat dan dalam keadaan marah akan menyebabkan talak itu jatuh.

Sebagaimana yang saudari nyatakan bahawa, bila berlaku lafaz talak atau timbul keraguan terutama berkaitan kesahihan lafaz talak, maka pasangan itu hendaklah hadir ke mahkamah syariah yang berhampiran dengan kadar segera untuk membuat pengesahan berhubung lafaz tersebut, kerana ia merupakan bidang kuasa mahkamah syariah. Mahkamah akan mengambil keterangan pihak-pihak dan semasa keterangan inilah nanti segala persoalan yang saudari nyatakan tentang kemampuan ayah membezakan halal dan haram, kefahaman tentang talak, lafaz yang diucapkan, dan lain-lain perkara berkaitan ayah saudari boleh dinyatakan di hadapan hakim. Hakim atau mahkamah nanti akan menentukan samada lafaz talak itu jatuh ataupun tidak.

Oleh yang demikian, sedikit nasihat untuk kita semua, dalam melayari kehidupan berumahtangga ini, pasangan suami isteri hendaklah berusaha sedaya upaya menyemaikan rasa toleransi, selalu berbincang, banyakkan bersabar serta berfikir sebelum bertindak. Meriahkan lah rumahtangga dengan majlis-majlis ilmu atau hadir ke majlis ilmu agar rumahtangga yang dibina berdiri atas landasan ilmu yang sebenar serta mampu mencapai kebahagian, keharmonian dan ketenangan sebagaimana yang Islam anjurkan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 133

message user image