BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Tuan/Puan, Semoga tuan/puan sentiasa dalam rahmat Allah swt. Saya ada pertanyaan berkaitan harta pusaka berupa 10 ekar tanah Felda dan sebidang tanah rumah Felda kepunyaan datuk saya. Datuk saya dan nenek telah meninggal dunia. Mereka mempunyai 4 orang anak. 3 daripada anak mereka juga telah meninggal dunia. Sekarang hanya tinggal seorang sahaja anak mereka. Bagaimanakah cara pembahagian harta pusaka tersebut? Adakah kami sebagai cucu layak menuntuk bahagian kami?Sekiranya ya. Bagaimanakah cara pengiraannya? Datuk telah mewasiatkan (secara mulut) semua hartanya kepada anak bongsu yang masih hidup. Tetapi cucu datuk (anak arwah2) telah menuntut harta pusaka bahagian mereka. Semoga mendapat penjelasan lanjut dari pihak tuan/puan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, sebelum pembahagian dan tuntutan harta pusaka boleh dilakukan, warisnya hendaklah menyelesaikan dahulu segala urusan yang berkaitan dengan hutang, zakat, fidyah, urusan jenazah dan pengkebumian si mati serta wasiat (jika ada) sebelum difaraidkan kepada waris yang layak. Berkenaan dengan wasiat pula, ia tidak boleh diambil melebihi 1/3 daripada harta si mati. Wasiat juga tidak boleh menafikan waris yang berhak menerima pusaka, lebih-lebih lagi ia mendakwa dilakukan secara lisan sahaja (wasiat secara mulut), tanpa bukti dan saksi. Wasiat hendaklah disaksikan oleh dua orang yang adil, sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu” (al-Maidah : 106) Antara wasiat yang diharamkan oleh syarak ialah wasiat yang bertujuan menyusahkan waris-waris dan menghalang mereka daripada menerima bahagian yang ditetapkan oleh syarak. Allah SWT melarang wasiat yang bertujuan meyusahkan (memudharatkan) orang lain sebagaimana firmanNya: Maksudnya : “Wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.” (an-Nisa’ : 12) Justeru adalah dinasihatkan agar perkara ini dirujukkan ke Bahagian Faraid dan Wasiat serta Hibah, Majlis Agama Islam Negeri yang berhampiran untuk mendapatkan nasihat dan tindakan yang boleh dilakukan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 85

message user image