BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai hal penceraian. Saya telah berkahwin hampir 10 tahun. Isteri saya meminta untuk diceraikan kerana sudah tiada perasaan sayang (tawar hati) pada saya lagi. Saya masih memujuk dia untuk terus bersama saya lagi dalam perkhawinan kami. Namun dia dengan tegas tidak mahu meneruskan dan minta diceraikan dengan segera. Jika tidak menceraikan dia, dia menyatakan tidak akan patuh pada saya, melayan saya dan akan terus memberontak untuk diceraikan, sehingga sanggup mengatakan untuk tidak berbuat baik dibelakang saya. Apakah hukum kepada saya untuk menceraikan nya adalah Harus atau wajib keatas saya? Dan apakah boleh isteri saya meminta cerai seperti ini?

Alasan dia tawar hati kepada saya, kerana sikap/layanan saya pada 4-5 tahun sebelum ini yang dia rasa kan saya tidak sayang pada nya. Dia kerap mengunakan alasan kesalahan/kelemahan saya pada 4-5 tahun lepas yang mana kami telah saling meminta maaf atas kesalahan/kelemahan itu.

Diharap pihak mufti dapat menjawab persoalan saya. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pembubaran pernikahan (fasakh) serta talak merupakan antara cara dan jalan terakhir bagi pasangan suami isteri memilih haluan masing-masing untuk berpisah. Akan tetapi ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan hanya untuk memuaskan hawa nafsu dan perasaan benci tanpa berlandaskan ketentuan syarak. Ini kerana Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW pernah bersabda;

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: Perkara yang halal yang amat dibenci oleh Allah SWT ialah talak. (Riwayat Abu Daud)

Begitu juga peringatan untuk isteri bahawa meminta penceraian tanpa ada sebab yang dibenarkan mengikut syarak adalah dilarang dan berdosa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Thauban RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ»

Maksudnya: Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga. (Riwayat al-Tirmidzi)

Dalam hadis yang mulia ini terdapat ancaman yang keras terhadap seorang isteri yang meminta cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara, dan perbuatan tersebut adalah perbuatan yang dilarang dalam agama serta merupakan perbuatan yang membawa kepada dosa.

Walaubagaimanapun, isteri boleh memohon cerai apabila ada alasan yang dibenarkan dan munasabah pada syara, sebagaimana yang dinyatakan dalam enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, seksyen 52 menyebutkan : (1) Seseorang perempuan yang berkahwin di bawah Hukum Syara' adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu---(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukkan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin ) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum ia mencapai umur enam belas tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain---

    (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

     (ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syara'; atau

     (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

     (iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau

     (v) menghalang isteri dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau

     (vi) jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, ia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syara'.

(i) bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan mensetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau lain-lain hal yang diakui oleh Hukum Syara';
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syara'.

Berkaitan hukum menceraikan isteri oleh suami pula, sama ada wajib atau harus, ia adalah bergantung kepada sebab atau tahap permasalahan yang berlaku dalam rumahtangga tersebut. Penceraian akan menjadi wajib apabila  suami tidak dapat menunaikan tanggungjawab serta kewajipan kepada isteri yang menyebabkan isteri teraniaya, atau isteri yang tidak bertanggungjawab atau melakukan kemaksiatan dan tidak mahu bertaubat setelah dinasihatkan dan lain-lain sebab yang dibenarkan syarak.

Oleh yang demikian, dalam menghadapi situasi seumpama ini dinasihatkan kepada para suami agar tidak membuat keputusan untuk melafazkan talak secara terburu-buru tetapi merujuklah terlebih dahulu kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran agar masalah ini dapat dirujuk kepada pihak yang berautoriti agar perjalanan urusan pasangan tersebut terlaksana dalam keadaan yang baik, tertib serta tidak tersasar dari landasan syara dan enakmen-enakmen yang sedia ada.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 225

message user image