BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam. Saya ada persoalan untuk ditanyakan.

Saya dan suami telah pun bercerai dengan persetujuan bersama di mahkamah baru-baru ini (walaupun sebenarnya saya tak pernah setuju dari awal suami maklumkan hajat untuk berpisah). Suami bertekad untuk berpisah dan tidak mahu ke kaunseling atau cari jalan penyelesaian lain langsung untuk segala permasalahan yang kami hadapi, dengan alasan sudah tawar hati dan saya sudah terlambat. Saya telah berusaha memperbaiki diri dan pergi kaunseling beberapa kali seorang diri namun rancangan saya untuk menyelamatkan rumah tangga tidak berjaya dan talak akhirnya dijatuhkan. Saya terima dengan berlapang dada. Saya masih dalam tempoh 'iddah. Saya masih bertekad memperbaiki diri, berdoa dan berharap agar Allah lembutkan hati suami dan buka pintu hatinya untuk rujuk kembali. Adakah saya dikira sebagai hamba Allah yang tak redha dengan takdir jika saya berterusan memohon kepada Allah agar kami disatukan kembali sebagai suami isteri? Adakah keberatan hati saya untuk berhenti berdoa akan apa yang saya inginkan itu menandakan saya terlalu menginginkan dunia lebih daripada Allah? Saya taknak putus asa berdoa sebab saya takut kalau sebenarnya Allah nak bagi dekat saya, tapi saya yang dah putus asa. Tapi bila saya masih berharap pada Tuhan sebegitu, saya dikatakan tak 'move on' dan tak redha dengan takdir yang Tuhan tetapkan pada saya. Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdoa merupakan suatu ibadah. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir, sabda Nabi SAW bahawa:

‌الدعاء ‌هو ‌العبادة ، ثم قرأ {ادعوني أستجب لكم} (1) [غافر: 60]

Maksudnya: Doa itu adalah ibadah. Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat al-Quran dari surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud (Berdoalah kepadaKu nescaya Aku perkenankan permohonan kamu).

(Riwayat Imam Ahmad)

Berdasarkan kepada penjelasan dan persoalan puan, tidak menjadi kesalahan untuk puan berdoa meminta apa sahaja yang baik khususnya jika perkara tersebut memberi kebaikan di dunia dan akhirat. Doa puan bukanlah berbentuk keduniaan sahaja jika ianya memberi kebaikan kepada kehidupan dunia untuk memperbaiki diri dan berkahwin semula dengan bekas suami. Adapun begitu, puan hendaklah yakin dengan setiap ketentuan dan aturan  Allah SWT. Yakinilah bahawa setiap ketentuan Allah SWT adalah yang terbaik untuk hamba-Nya. Tugas kita sebagai hamba-Nya perlu berusaha sebaik mungkin dan menyerahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah. Kita sebagai hamba perlu menanam sikap redha kepada ketentuan-Nya iaitu bersifat dengan lapang hati dan bersangka baik segala aturan-Nya walaupun ia bertentangan dengan kehendak hati kita. Yakinlah bahawa setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 142

message user image