Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan,
Saya ingin bertanyakan soalan tentang pelaburan/dagangan saham misalnya di Bursa Malaysia. Dari sudut hukum, sebagai pedagang saham individu, adakah boleh kita melakukan pembelian sesuatu saham melalui maklumat atau mesej daripada seseorang kenalan yang mana ia juga merupakan seorang operator yang menggerakkan harga sesuatu kaunter saham di Bursa. Contoh situasi, beliau sering berurusan dengan seseorang client beliau yang "High net worth", dan ada kalanya beliau akan beritahu bahawa, sesuatu harga kaunter saham tersebut boleh pergi dari Rm 0.75 ke RM 1.50 dalam tempoh sekian2 sebagai contoh. Menurut hukum dan pandangan dari Pihak Jabatan Mufti, adakah boleh kita membuat pembelian sesuatu saham daripada mesej yang berunsurkan jaminan dan juga "Buy Signal" yang disampaikan oleh kenalan stock operator saya tersebut. Tambahan, saya juga mempunyai asas dalam ilmu Pelaburan. Mohon Pencerahan daripada pihak Jabatan Mufti. Jasa Tuan/Puan sangat saya hargai. Semoga seluruh urusan dunia akhirat kita semua dipermudahkan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Hukum jual beli saham adalah diharuskan selagi mana saham tersebut adalah patuh syariah. Selain itu, membeli sesuatu saham berdasarkan jaminan peningkatan harga saham juga adalah diharuskan kerana ia masih lagi berbentuk andainya berdasarkan pengalaman atau kajian terhadap turun naik harga saham dan sebagainya. Ia termasuk dalam strategi perniagaan dan pelaburan yang dibenarkan selagi mana tidak mempunyai sebarang unsur yang bercanggah dengan syarak seperti judi, riba dan lain-lain. Melainkan sekiranya maklumat itu datangnya daripada orang 'dalam' yang menjadi kesalahan kepadanya untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada orang lain, maka ketika itu ia bukan sahaja salah dari segi undang-undang, ia juga salah salah dari segi agama dan berdosa.
والله أعلم بالصواب