Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT..
Saya berasal dari Pahang. Saya sudah berkahwin dan alhamdulillah sudah mempunyai rumah di Pahang. Allah merezekikan saya untuk mendapat pekerjaan di Terengganu pada Januari 2023. Semenjak itu, setiap hujung minggu atau setiap petang khamis saya akan pulang ke Pahang kerana saya PJJ bersama Isteri saya dan pulang semula ke Terengganu pada Ahad pagi. Soalan pertama saya, Adakah saya boleh melakukan solat Jamak dan Qasar apabila pulang ke Pahang, atau saya boleh melakukannya di Terengganu, atau kedua2nya tidak boleh. Soalan kedua, saya perjalanan dan melakukan Jamak Taqdim (Asar dalam zohor) dan apabila saya sampai ke destinasi permastautinan saya, waktu asar belum masuk. Adakah saya perlu solat asar semula apabila masuk waktu?
Sekian, Terima kasih.
Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan rahmatnya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan persoalan yang dikemukakan, dapatlah difahami bahawa rumah tuan di Pahang merupakan tempat tuan bermastautin. Manakala di Terengganu adalah tempat tuan bermukim sahaja kerana bekerja di sana. Bermukim ialah orang yang tinggal di satu-satu tempat lebih daripada 3 hari. Dia tidak berniat untuk kekal selama-lamanya di situ. Bermastautin pula ialah orang yang tinggal di satu-satu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain walaupun dia lahir di tempat lain.
Jawapan soalan pertama:
Tuan tidak diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar setibanya di kariah rumah tuan di Pahang kerana ia merupakan tempat tuan bermastautin. Apabila tuan pergi ke Terengganu dan sampai ke rumah tuan di sana, tuan diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar selama berada di sana sekiranya tuan berniat untuk tinggal selama 3 hari atau kurang dari itu, tidak termasuk hari sampai dan hari meninggalkan tempat itu. Namun, sekiranya tuan berniat untuk tinggal di sana lebih dari 3 hari, tuan tidak diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar setibanya di kawasan rumah tuan kerana tuan telah dianggap sebagai bermukim.
Jawapan soalan kedua:
Sekiranya semasa dalam perjalanan tuan telah menunaikan solat Asar secara jamak taqdim, maka tuan tidak perlu menunaikan solat asar apabila telah sampai ke destinasi tuan, walaupun waktu Asar belum bermula, kerana tuan telah menunaikan solat tersebut sebagai menerima rukhsah (kemudahan) yang telah Allah berikan kepada musafir.
والله أعلم بالصواب