Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Solat subuh selalunya hari jumaat imam baca surah yang perlu sujud sajadah. Samalah juga semasa membaca Al-Qur'an. Kalau kita tidak hafal bacaan sujud sajadah tu macam mana?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu hukum sujud sajadah adalah sunat mu'akad atau sunat yang amat digalakkan. Sujud sajadah adalah sujud yang dilakukan apabila seseorang itu membaca dan mendengar ayat-ayat sajadah dalam al-Quran. Nama lain bagi sujud sajadah adalah sujud tilawah atau bermaksud sujud yang dilakukan apabila kita membaca ayat-ayat tertentu di dalam al-Quran. Ini bermakna, sujud sajadah boleh dikategorikan kepada 2 keadaan iaitu di dalam solat dan di luar solat.
Di dalam solat jemaah, sekiranya imam melakukan sujud sajadah, maka makmum wajib untuk melakukannya juga. Malah, batal solat makmum sekiranya tidak melakukan sujud sajadah bersama imam. Walau bagaimanapun, jika dalam solat jemaah imam tidak melakukannya, maka makmum tidak perlu sujud sajadah kerana makmum wajib menyesuaikan gerakannya mengikut imam.
Bacaan yang biasa diamalkan ketika sujud sajadah adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai seperti berikut:
Dari ‘Aisyah RA, beliau mengatakan bahwa Rasulullah SAW biasa membaca dalam sujud sajadah di malam hari beberapa kali bacaan:
Maksudnya: Wajahku bersujud kepada Penciptanya, yang Membentuknya, yang Membentuk pendengaran dan penglihatannya. Maha Suci Allah Sebaik-baik Pencipta.
(Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai)
Oleh yang demikian, disarankan menghafal bacaan sujud sajadah tersebut sekiranya mampu. Namun, sekiranya tidak menghafalnya, bolehlah membaca bacaan biasa ketika sujud.