BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum . saya nak tanya, saya ada beli satu rumah dan di ruang parkir kereta terdapat bekas tapak kaki anjing diatas simen yang telah kering lalu meninggalkan bekas tapak kaki anjing tersebut . Apakah saya harus sertu kawasan tapak kaki anjing tersebut atau perlu mensimen semula bekas tapak kaki anjing tersebut. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang suci itu kekal dianggap suci sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang suci itu kepada bernajis. Sebagaimana kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).

Adapun bekas tapak kaki anjing pada lantai simen yang telah kering tidak perlu disertu. Melainkan sekiranya jelas dipastikan terdapat ain najis anjing,  maka ketika itu perlu sucikan dengan menyertu kawasan yang terkena najis anjing tersebut. Boleh disimen semula kesan tapak kaki anjing itu bagi mengelakkan timbul keraguan pada masa akan datang. 

والله أعلم بالصواب

Terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 180

message user image