Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, soalan ini mengenai nafkah pada ibu bapa yang sudah berusia dan sudah tidak bekerja.
Keluarga ini ada 4 anak, 1 lelaki dan 3 perempuan. 2 perempuan sudah berkahwin dan 2 lagi belum. Yang banyak mengeluarkan duit untuk menjaga ibu bapa adalah anak perempuan yang belum berkahwin, si anak lelaki pula sangat kedekut dan berkira dalam perbelanjaan. Sudah tentu saya faham, anak lelaki yang perlu keluarkan nafkah, tapi malangnya dia bersikap narsistik (akan sentap jika ditegur), jadi situasi ini berpanjangan sehingga kini.
Si Ibu pula ada simpanan berpuluh ribu dalam akaun bank (hasil duit pemberian dari suami) dan dia juga sangat kedekut dan bersikap narsistik. Jadi dia sangat culas untuk menggunakan duit simpanan untuk pembayaran bil dan barangan dapur dengan alasan, ia tanggungjawab anak-anak sepenuhnya. Saya faham mengenai nafkah anak untuk tanggung ibu bapa yang sudah berusia. Tetapi sampai ke tahap mana anak-anak perlu tanggung? Adakah Si Ibu boleh simpan duit dengan berkata "Ini duit aku, sukahati aku nak guna untuk apapun"?
Adakah anak-anak perlu berkongsi dan bayar bill dan barangan dapur sedangkan pada masa yang sama, anak-anak sudah memberikan duit tunai kepada si Ibu? Ya, duit tunai yang diberikan pada si Ibu disimpan di dalam bank dan kalau boleh si Ibu tak nak guna.
Soalan saya, sampai tahap mana perlu anak tanggung perbelanjaan ibu bapa? Dari persepsi si Ibu, yang saya nampak, dia bagaikan hendak 100% gaji diberikan padanya.
Sekarang saya hendak mencadangkan konsep ini iaitu, jangan beri langsung duit tunai pada ibu bapa tetapi guna duit tunai itu untuk pembayaran terus bil dan barangan dapur. Adakah ini yang sebaiknya?
Jawapan
Ulama bersepakat bahawa anak-anak wajib memberi nafkah kepada ibu bapa yang miskin, berusia dan tiada pendapatan. Manakala jika ibu bapa yang berkemampuan dan mempunyai pendapatan maka tidak menjadi kewajipan bagi anak-anak untuk memberi mereka nafkah. Perkara ini sepertimana dinukilkan dalam kitab al-Mughni li Ibn Qudamah. Pemberian nafkah kepada ibu bapa merupakan salah satu perbuatan baik yang boleh dilakukan oleh anak-anak sebagai membalas jasa dan pengorbanan ibu ayah membesar dan mendidik anak-anak.
Berdasarkan kepada huraian dan persoalan tuan, sebagai anak tidak kira lelaki atau perempuan sama ada sudah berkahwin atau belum. Anak-anak yang sudah mempunyai pendapatan sendiri harus berbincang dan bersepakat sebaiknya dalam urusan pemberian nafkah ibu bapa supaya perkara ini tidak terbeban hanya kepada seorang anak sahaja. Kami ringkaskan juga jawapan daripada persoalan tuan sebagaimana berikut:
Urusan ibu ayah menjadi kewajipan kepada anak-anak terutamanya ibu bapa yang miskin dan sudah berusia yang sangat memerlukan bantuan anak-anak. Sebagai anak yang baik, berbincanglah untuk mendapat kata sepakat dengan semua adik beradik untuk melakukan yang terbaik kepada ibu ayah sebagai membalas jasa mereka dan berbakti kepada ibu ayah yang sememangnya merupakan perintah Allah untuk berbuat baik kepada mereka.