Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.. Soalan saya.
Kilang A menghasilkan produk makanan haiwan berasaskan ulat/larvae (insect). Untuk membesarkan ulat/larvae, ia diberi makanan bahan buangan (waste) yang telah diproses. Bahan buangan itu diambil dari kilang-kilang makanan di Malaysia termasuklah hampas gandum dan beras dari kilang arak seperti Carlsberg dan Heineken. Apakah hukum bekerja di kilang A?
Terima kasih
Jawapan
Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sungguh yang halal itu jelas, yang haram pun jelas. Dan di antara keduanya ada perkara yang syubhah, yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Maka barangsiapa yang menghindari syubhah, maka berarti dia telah membebaskan agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara syubhah, maka dia jatuh dalam perkara yang diharamkan. Seperti seorang gembala menggembalakan di sekitar tanah larangan. Hampir saja dia masuk dalam tanah larangan itu.
Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a.;
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya. (Riwayat at-Tirmizi)
Berdasarkan skop kerja tuan yang tuan nyatakan, tiada sebarang masalah untuk diteruskan disebabkan tuan tidak berada dalam 10 orang yang dilaknat oleh Allah SWT sebagaimana hadis di atas.