Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apa hukum makan hasil menang pertandingan burung ?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Sekiranya pertandingan burung tersebut mensyaratkan pembayaran yuran tertentu kepada peserta dan hadiah diambil daripada kutipan bayaran tersebut, maka ia mengandungi unsur perjudian yang menyebabkan hasil kemenangan pertandingan itu diharamkan. Pengharaman yang berkaitan judi ini jelas dinyatakan dalam al-Quran, hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat ke 90:
Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Walau bagaimanapun sekiranya di dalam pertandingan tersebut tidak terdapat sebarang unsur perjudian atau unsur lain yang bercanggah dengan syarak, maka hasil atau hadiah kemenangan dari pertandingan tersebut adalah diharuskan.