Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Mana lebih utama antara ibu dan isteri. Perlukan saya berenti kerja untuk jaga ibu sepenuh masa dimana dia memang memerlukan bantuan harian seperti mandi, makan ubat kerana dia tak boleh bergerak sendiri. Ibu ada suami tapi matanya kabur, tak nampak dan tak kuat sebab ibu berbadan agak besar dan berat. Nak harap saudara mara yang lain memang taklah, memang jenis tak akan tolong.
Kalau saya berenti kerja, saya akan hilang pendapatan penuh untuk menanggung anak isteri dan hutang2 lain. Masa bekerja, nak upah orang (nurse peribadi) pun saya tak mampu, inikan pulak nak tanggung nafkah pada ibubapa. Saya kerja hanya cukup untuk bayar hutang (rumah,kereta), isteri dan anak sahaja. Isteri saya tak bekerja tapi dia tolong jaga anak-anak sebab yuran taska terlalu mahal. Soalan saya:-
1) Perlukah saya memaksa isteri jaga ibu saya bagi pihak saya dan kalau dia taknak, adakah dia dianggap derhaka pada suami?
2) Apakah solusi terbaik untuk saya? Wajib berenti kerja dan jaga ibu sepenuh masa atau teruskan bekerja macam biasa, tapi kebajikan pada ibu pulak terabai. Terima kasih.
Jawapan
Dalam situasi permasalahan yang tuan lalui, sekiranya tuan memaksa isteri untuk menjaga ibu tuan, secara asasnya isteri itu wajib taat pada perintah suaminya pada perkara yang maaruf dan tidak bercanggah dengan hukum syara. Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan memudahkannya jalan untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki. (Riwayat Ibn Hibban).
Namun, adakah dengan cara memaksa itu akan memberi penyelesaian terhadap permasalahan yang tuan hadapi, atau akan membawa pula kemudaratan yang lebih besar iaitu perasaan tidak puas hati isteri, atau perbalahan dalam rumahtangga sehingga menghakis keharmonian yang telah dibina sekian lama.
Oleh sebab itu, dalam mencari solusi permasalahan seumpama ini, tuan dan isteri perlukan berbincang dengan cara yang baik, dari hati ke hati, berikanlah galakan dan kefahaman dalam urusan mentaati dan menghormati suami, beri kefahaman berkaitan tanggungjawab tuan sebagai anak dan suami, agar isteri faham dan terbuka untuk menerima permintaan tuan menjaga ibu tuan dengan ikhlas dan penuh kerelaan hati. Ini kerana dalam isu hubungan antara suami, isteri dan ibu atau bapa pasangan, banyak keadaan di mana si suami kadangkala terhimpit di tengah-tengah, iaitu antara mengikut kata ibu atau isteri. Atas sebab itulah, penting bagi seorang suami mempunyai kepimpinan yang tinggi dan berani membuat keputusan yang tepat serta penuh hikmah, walaupun kadangkala terpaksa mengambil pelbagai risiko dan keputusan yang sukar.
Berkaitan soalan kedua tuan berkaitan perlukan tuan berhenti kerja dan menjaga ibu sepenuh masa atau teruskan bekerja macam biasa, tapi kebajikan pada ibu pula terabai. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya. (Riwayat al-Bukhari)
Mafhum daripada hadis di atas menunjukkan ‘فَلِأَهْلِكَ’ lebih kepada isteri dan anak-anak. Justeru, selama mana ia menjadi tanggungjawab terhadapnya, maka tanggungjawab kepada isteri adalah diutamakan kecuali dalam keadaan darurat, ibu memerlukan bantuan, maka ketika itu hendaklah diberikan kepadanya.
Imam al-Syaukani di dalam kitab Nail al-Autar menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibubapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibubapa.
Hadis ini jelas menunjukkan kewajipan menyediakan nafkah oleh suami kepada isteri dan ahli keluarganya. Sekiranya suami itu megambil keputusan untuk berhenti kerja untuk menjaga ibunya, tanpa ada sumber pendapatan yang lain, maka bagaimana dia hendak memberikan nafkah kepada keluarganya, kecuali suami itu mempunyai sumber-sumber pendapatan yang lain yang boleh melunasi tanggungjawab kepada keluarganya tersebut.
Sekiranya tuan mempunyai adik beradik yang lain, maka adalah lebih baik untuk menbincang mencari solusi terbaik secara bersama, kerana isu seumpama ini perlu ada keselarasan dan persefahaman oleh semua pihak terutama adik beradik tuan untuk sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga, membantu dan berkhidmat kepada kedua ibubapa. Dengan cara ini, tidaklah hanya terbeban kepada satu-satu anak sahaja sedangkan yang lain tidak ambik peduli atau tidak cuba membantu meringankan beban satu sama lain. Ingatlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW:
Maksudnya: Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. (Riwayat al-Tirmizi)
Sebagai rumusan, sebagai seorang anak yang telah mendirikan rumahtangga, dan masih mempunyai ibu dan bapa, maka ada beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian agar rumahtangganya berjalan dengan baik dan teratur iaitu :
a) Tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap kedua ibu bapanya tidak akan berakhir walaupun dirinya telah berkahwin.
b) Keutamaan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab barunya sebagai seorang suami dan bapa.
c) Kegagalan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kerana lantaran terlalu sibuk dengan ibu atau bapa sendiri sehingga mengabaikan keluarga baru iaitu isteri dan anak-anak juga merupakan sesuatu yang dilarang agama.