Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya bekerja di bahagian operasi syarikat yang memberi khidmat menyusun barang makanan dan minuman bagi semua pasaraya dan kedai serbaneka seperti 7 Eleven dan 99 Speedmart. Syarikat kami baru sahaja memperoleh tender bagi arak . Saya bagaimanapun tidak menguruskan bahagian itu secara langsung berikutan saya berada di dalam bahagian lain. Adakah gaji yang diterima halal (memandangkan syarikat akan mencampur wang perolehan mereka termasuk dari sumber urus niaga arak tersebut)? Apakah saya perlu bertukar tempat kerja? Mohon pencerahan dari pihak tuan/puan .
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan berkenaan Isu Status Pendapatan Hasil Syarikat Yang Meragukan adalah seperti berikut;
1. Dalil al-Quran: Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maaidah : 90)
2. Dalil al-Hadith Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA.;
Maksudnya : Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya. (Riwayat at-Tirmizi)
3. Garis Panduan Daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor Berdasarkan kepada ayat al-Quran dan al-Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa sebarang urusan yang ada kaitannya dengan arak mestilah dijauhi. Namun dalam kes puan, perbincangan secara harmoni antara kakitangan Muslim dan pihak syarikat mestilah diadakan terlebih dahulu agar penjelasan dapat diberikan tentang pengharaman penglibatan kakitangan Muslim di dalam menguruskan arak. Dan pengasingan secara total dari segala sudut seperti:-
i. Pengasingan akaun.
ii. Pengasingan kakitangan dibahagian kewangan.
iii. Pemandu yang khusus.
iv. Gaji kakitangan muslim dari akaun yang patuh syariah (Syariah Compliance).
v. Orang Islam tidak melibatkan diri dalam kerja-kerja akaun yang berkaitan dengan arak.
Perkara yang dinyatakan di atas mestilah dilakukan oleh pihak syarikat dalam memastikan kakitangan Muslim tidak terlibat langsung dengan urusan yang berkaitan dengan arak. Semoga panduan ringkas ini dapat dijadikan panduan oleh para pekerja Muslim untuk memberikan penjelasan kepada pihak syarikat bahawa pengharaman arak kepada umat Islam bukan sahaja diharamkan meminumnya, bahkan adalah secara keseluruhannya yang berkaitan dengan arak.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.