BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan mufti

Saya hendak bertanya tentang isu najis mughalazah.

Beberapa bulan yang lepas, semasa saya berjalan, saya dapati di tempat yang saya lalui mempunyai najis yang sudah penyek, diyakini telah dipijak. Najis itu berkemungkinan najis anjing kerana terdapat banyak anjir liar berkeliaran di kawasan tersebut. Walaupun saya tidak melihat saya terpijak najis tersebut, saya merasakan 90% yakin bahawa saya terpijak kerana berada di tempat yang saya baru lalui. Apabila pulang ke rumah, saya dapati terdapat kesan hitam kecil di bawah kasut saya, dan saya tidak pasti samada itu adalah najis anjing tersebut atau bukan. Saya tidak dapat memastikan samada ada bau atau tidak kerana saya tidak mencium bau kasut itu dekat-dekat, ini kerana najis penyek tadi sudah kering, hal ini kerana najis kering kebiasaannya baunya tidak sekuat najis yang basah. Oleh kerana saya mempunyai was was yang teruk, saya memasukkan sahaja kasut tersebut di dalam plastik.

soalan saya:

1. Berdasarkan situasi di atas, adakah saya dikira memijak najis anjing? Hal ini kerana walaupun tidak jelas, saya merasakan 90% saya telah terpijak najis tersebut. Tambahan pula terdapat benda hitam yang saya tidak pasti samada itu adalah najis atau tidak. Bagaimana jika ianya benar-benar najis anjing?

 

2. Jika yang saya terpijak itu najis, saya ada kemusykilan lagi. Kasut yang saya simpan didalam plastik itu saya berancang untuk sertu sahaja untuk menyedapkan hati. Akan tetapi, sebelum saya berbuat demikian, emak saya sudah mencuci kasut tersebut seperti biasa menggunakan sabun. Tidak silap saya, saya sudah berpesan supaya tidak berbuat apa-apa kepada kasut tersebut, tetapi mungkin ibu saya terlupa ataupun tidak tau perlu menyertu. Oleh itu, saya risau jika benar-benar kasut itu hukumnya najis, jadi tangan ibu saya juga sudah berjangkit najis anjing tersebut. Bagaimana dengan barangan yang disentuh ibu saya? Bagaimana juga dengan kami yang menyentuh tangan ibu? Saya risau jika najis hukmi anjing tersebut berpindah walaupun tiada ain najis itu. Saya berpikiran untuk menyertu kasut sahaja kerana kasut itu yang mula-mulanya bernajis. Akan tetapi was was saya menjadi teruk bila memikirkan tangan ibu saya yang menyentuh kasut tersebut

 

Saya sudah stress memikirkan situasi di atas. Kadang kala saya hampir termarah ibu saya kerana mencuci kasut saya sesuka hati walaupun sudah diberitahu. Akan tetapi saya tidak melakukan demikian kerana risau mengecilkan hati ibu saya. Jadi saya berdiam diri sahaja. Sekarang saya yang berasa murung kerana pendam semuanya sendiri. Tambahan pula saya jadi risau mahu menyentuh semua barangan dirumah yang disentuh ibu saya

mohon pencerahan. Terima kasih

 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, bau, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, warna dan rasa.

1) Sekiranya yakin terdapatnya najis anjing tersebut semasa memijak dengan kasut pada kesan tapak kasut yang dikatakan najis anjing, maka perlu disucikan dengan cara disertu tempat yang terkena najis. Namun, jika sekadar andaian maka ia tidak perlu disertu. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. 

Ini kerana pada asalnya, hukum sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan dihadiri salah satu sifatnya iaitu bau, warna atau rasa. Kaedah fiqh yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan. 

Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, warna atau rasa, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.

2) Tidak perlu sertu jika tidak DIYAKINI terdapatnya najis pada kasut tersebut. Ini kerana ia hanya disyaki sahaja dan bukan sesuatu yang benar-benar pasti melihat dengan mata kepala sendiri ain najis anjing. Oleh yang  demikian, hendaklah meninggalkan perasaan syak-wasangka tersebut tanpa perlu menyertu. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberatkan seseorang hamba-Nya daripada syariat yang telah ditetapkan oleh-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 78:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

Oleh itu, tangan ibu dan apa sahaja yang dipegang oleh ibu tuan dalam rumah tersebut adalah tidak bernajis. Malahan kejadian tersebut juga telah berlaku beberapa bulan yang lalu. Justeru itu, tidak timbul lagi isu berkaitan najis tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 577

message user image