BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya berkenaan dengan Trend di tiktok yang ada tawarkan servis sewa boyfriend di Shopee lepastu promosi di tiktok. Antara servis dia, sleepcall, mesej antara ajnabi dan bukan mahram,. Saya tak tahu sangat servis tu. Tapi dia ada ajar budak sekolah sejarah, math juga yang mana mintak dia ajar. Kira macam baguslah servis ni. Tapi saya keliru bukan ke antara lelaki dan perempuan bukan mahram dilarang couple . Lepastu, feedback ruang komen semua setuju dan okay je. Saya keliru. Samalah mcm trend npc, bukankah nabi Muhammad S.A.W melarang kita dari meminta-minta, betul ke buat macamtu seperti pengemis online. Jadi kalau kita buat live boleh ke, kita minta gift? Sekian


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Hukum menyediakan dan melanggan servis menyewa boyfriend di tiktok atau mana-mana medium adalah diharamkan kerana mengandungi unsur maksiat. Hukum melakukan sesuatu secara atas talian adalah sama seperti perlakuannya secara fizikal. Memandangkan percampuran antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa sebab-sebab syarie adalah dilarang, maka hukum yang sama terpakai untuk mana-mana servis yang mengandungi unsur tersebut di media sosial atau secara atas talian. Walaupun terdapat perkhidmatan seperti mengajar mata pelajaran sejarah dan matematik, ia tetap salah dan dilarang di dalam Islam kerana kaedah mahupun cara yang salah. Kaedah fiqh menyebut:

الغاية لا تُبرر الوسيلة

Maksudnya: Matlamat tidak menghalalkan cara.

Mengenai trend NPC (Non-Playable Character) di dalam tik tok iaitu seseorang yang melakonkan watak sesebuah character NPC bagi mendapatkan gift yang seterusnya menghasilkan pendapatan. Trend tersebut adalah dilarang di dalam Islam kerana terdapat unsur meminta-minta tanpa keperluan dan merupakan trend yang tidak baik untuk diamalkan oleh masyarakat. Di samping itu, perbuatan tersebut dilihat merendahkan maruah serta keperibadian seseorang. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا, فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا, فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

Maksudnya: Barangsiapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak. (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 155

message user image