Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya hendak bertanya tentang hal sertu.Saya mendapati ada kesan air liur anjing pada tangga rumah saya, lalu saya mengalirkan air untuk menghilangkan kesan air liur anjing tersebut tetapi saya tidak sertu tangga itu.Kemudian saya menggunakan penarik air getah untuk mendorong air basuhan itu.
Persoalannya, adakah saya perlu sertu penarik air getah itu dan adakah kaki-kaki yang memijak tangga itu ketika basah perlu disertu walaupun tiada kesan?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Cara menyertu tangga yang terdapat air liur anjing adalah dengan membuang air liur tersebut dengan cara mengelap hingga kering menggunakan tisu atau sebagainya. Kemudian alirkan ke atas tempat yang terkena air liur itu tadi sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Mengalirkan air ke atas air liur anjing yang belum dikeringkan boleh menyebabkan air itu menjadi mutanajjis (bernajis) dan mengakibatkan merebaknya najis tersebut ke tempat lain.
Berhubung dengan kes tuan, tuan hanya perlu menyertu tempat yang terkena air liur anjing serta penarik air getah sahaja tanpa perlu menyertu yang lain.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.