Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada sedikit pertanyaan,
1) Apa hukum percikan air dari mangkuk tandas semasa tengah flush terkena pada lantai? Tak pasti masa tu sikit atau banyak percikan tu sebab mmg lantai tengah basah, nampak sekali lalu je, lupa nak basuh lantai tu dulu, terus ambil wuduk dekat paip yang ada atas lantai tu dan solat, apa hukum pakaian yang saya pakai masa solat?
2) Saya pernah terbaca seorang lelaki yang berpakaian tidak menutup aurat, sebagai contoh berseluar pendek di hadapan ajnabi, kemudian ketika dia nak walikan kakak/adik perempuan semasa nikah, nikah boleh jadi tidak sah. Apakah sebenarnya hukum bila mereka ini menjadi wali, adakah sah atau tidak?
Terima Kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
1. Percikan air yang saudari maksudkan ini adalah sesuatu yang difahami dalam fiqh sebagai umum al-balwa iaitu merupakan sesuatu perkara yang mendatangkan kesusahan yang luar dari kebiasaan kepada manusia jika perkara itu ditinggalkan. Kesusahan itu meliputi kebanyakan manusia. Umum al-balwa ini sesuatu perkara yang sukar untuk dihindari, maka syarak tidak memaksa setiap muslim meninggalkannya demi memudahkan urusan manusia di dalam kehidupan harian. Antara dalil tentang perkara ini seperti firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 185 :
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Yang maksudnya: (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
Oleh yang demikian, percikan yang sedikit itu atau kadar percikan yang saudari tidak dapat pastikan banyak atau sedikit yang terkena pada lantai dan mungkin terkena pada pakaian saudari, ia tidak menyebabkan pakaian saudari menjadi tidak suci untuk digunakan bagi mengerjakan ibadah solat.
Tambahan pula, tidak dapat dipastikan dengan yakin air percikan itu mengandungi najis ataupun tidak. Oleh itu, sangkaan atau syak semata-mata tidak boleh menjadikan sesuatu itu bernajis berdasarkan kepada kaedah fiqh:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan syak (keraguan).
Ini adalah kerana asal sesuatu perkara itu suci dan tidak dianggap bernajis sehingga diyakini terkena najis.
2. Menjawab persoalan wali yang tidak menutup aurat di hadapan ajnabi. Wali yang seumpama ini boleh termasuk dalam kategori wali yang tidak adil. Maksud wali tidak adil ialah wali yang melakukan dosa besar atau mengekalkan dosa kecil atau mencemarkan maruah diri seperti kencing di jalanan, berada dalam pusat-pusat hiburan atau pusat perjudian dan seumpama dengannya. Di dalam fiqh, wali seperti ini dipanggil wali yang fasiq. Kesannya ialah dia tidak boleh menjadi wali kepada perkahwinan. Ini adalah kerana syarat sah untuk menjadi seorang wali perkawinan adalah seorang lelaki yang adil.
Walau bagaimanapun, bagi menghadapi situasi seperti ini, maka kelaziman yang telah dilaksanakan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebelum memulakan sesuatu upacara akad nikah, mereka akan bersyahadah dan beristighfar bersama-sama wali dan saksi-saksi nikah. Ini bagi memastikan ketika akad nikah berjalan, wali dan saksi berada dalam keadaan yang menepati keahlian sebagai wali iaitu adil yakni tidak fasiq.
والله أعلم بالصواب