BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, di sini saya ada beberapa persolan yang ingin di tanya. Mohon jasa baik pihat Tuan untuk menjawab persoalan yang bermain di fikiran saya ini.

1. Adakah wanita yang telah menggunakan niqab dalam tempoh masa yang lama tidak boleh berhenti menggunakan niqab kerana muka mereka rtelah menjadi sebahagian daripada aurat? dalam pengetahuan saya, hukum menggunakan niqab adalah harus, dan muka bukanlah sebahagian daripada aurat. bagi mereka yang telah menggunakan niqab, mereka boleh membuka niqab atas sebaba-sebab tertentu seperti tuntutan kerja. namum, adakah mereka boleh berhenti menggunakan niqab seperti wanita yang bertudung menjadi "free hair". adakah ia satu dosa?

2. sekiranya kita tersedar bahawa kita telah terlebih rakaat di dalam solat, adakah kita perlu terus duduk tahiat akhir dari keadaan berdiri atau perlu habiskan rakaat tersebut?

3. sekiranya kita tidak sempat bersama imam dalam rakaat pertama solat jumaat, adakah kita hanya perlu menambah satu rakaat sahaja atau menambah tiga rakaat?

mohon pihak Tuan boleh sertakan dalil dalam menjawab persoalan saya supaya saya dapat berkongsi ilmu ini dengan orang lain.

Terima Kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan;

1. Menurut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’i, keseluruhan anggota badan wanita merupakan aurat bagi wanita kecuali muka dan tapak tangan. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa, Rasulullah SAW bersabda:

وَلاَ تَنْتَقِبِ الْمَرْأَةُ الْمُحْرِمَةُ وَلاَ تَلْبَسِ الْقُفَّازَيْنِ.

Maksudnya: Janganlah seorang wanita berniqab ketika melakukan ihram dan jangan pula dia memakai sarung tangan pada kedua tangannya.

(Riwayat al-Bukhari)

Harus bagi wanita untuk membuka niqab dan tidak berdosa meskipun berniqab sebelumnya kerana hukum asal muka bukan sebahagian daripada aurat yang wajib ditutupi.

2. Jika seseorang menyedari ia sedang menambah rakat ketika solat, maka seseorang tidak boleh meneruskan perbuatan solat pada rakat tersebut. Hal ini kerana perbuatan tersebut ialah perbuatan menambah rukun dan boleh membatalkan solat. Maka, hendaklah ia terus duduk pada tasyahhud akhir dan sunat baginya membuat sujud sahwi sebelum salam.

3. Sekiranya seseorang hanya sempat satu rakaat bersama imam dalam solat Jumaat, maka dia hanya perlu menambah satu rakaat sahaja. Makmum dianggap mendapat satu rakaat sekiranya sempat rukuk serta toma'ninah bersama imam pada rakaat kedua. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الْجُمُعَةِ رَكْعَةً فَلْيُصَلِّ إِلَيْهَا أُخْرَى

Maksudnya: Barangsiapa yang sempat satu rakaat (bersama imam) dalam solat Jumaat maka dia tambah satu rakaat lagi.

Namun, jika seseorang tidak sempat mendapat satu rakat pertama bersama imam dalam solat Jumaat seperti makmum masuk jemaah ketika imam telah iktidal pada rakaat kedua, maka makmum hendaklah sempurnakan dengan empat rakaat solat Zohor.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 1012

message user image