BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Soalan saya adalah seperti berikut:

Apakah hukum / adakah jatuh talak apabila seorang lelaki telah mengakui dia sudah bercerai selama 3 tahun dengan isterinya dengan niat untuk mengahwini seorang janda yang tidak menerima poligami. Namun, si isteri lelaki tersebut tidak pernah menerima apa-apa lafaz cerai daripada suaminya.

 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Mengetahui lafaz yang digunakan oleh suami ketika menceraikan isteri atau mengatakan kepada orang lain bahawa dia telah menceraikan isterinya adalah sangat penting. Seseorang lelaki (suami) yang mengatakan bahawa dirinya bujang, tidak berkahwin, tidak mempunyai isteri, atau telah berpisah dengan isteri dianggap sebagai lafaz kinayah (kiasan) yang sekiranya suami berniat untuk menceraikan isterinya, maka penceraian atau talak berlaku. Seandainya dia tidak berniat untuk menceraikan isterinya, maka penceraian tidak berlaku.

Namun seandainya seorang lelaki (suami) mengatakan dengan lafaz yang sorih atau jelas "saya telah ceraikan isteri saya" atau apabila ditanya adakah dia telah menceraikan isterinya lalu dia menjawab "ya saya telah ceraikan isteri saya", walaupun dia berbohong, maka pada pandangan Jumhur Ulama mengatakan bahawa dari segi zahir ataupun qadha' (undang-undang) talak boleh berlaku.  

Memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 166

message user image