BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamulaikum Tuan/Puan,

 

Saya ingin menanyakan hukum bekerja di syarikat yang supply man power untuk kilang arak,akan tetapi syarikat tersebut ada client lain selain kilang arak,kilang arak nie hanya salah 1 client syarikat tersebut.

Mohon penjelasan untuk saya,

 

Terima kasih,

 

Regards,

Diah


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Hukum bekerja di syarikat yang menyediakan tenaga kerja kepada syarikat lain adalah diharuskan selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. Adapun terlibat secara langsung dengan syarikat arak, maka hukumnya adalah haram. Hadis daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda;

لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقَيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ

Maksudnya: Allah melaknat arak, peminumnya, pelayannya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang untuknya ia diperah, orang yang menyampaikannya dan orang yang kepadanya ia disampaikan.

(Riwayat Ibnu Majah)

Jelas dalam hadis di atas bahawa keterlibatan bermula daripada pembuatan sehinggalah kepada pelanggan arak adalah diharamkan dan dilaknat oleh Allah SWT. Sekiranya tuan/puan merupakan pihak pengurusan syarikat, adalah dinasihatkan untuk tidak menerima sebarang tawaran kerja oleh syarikat arak. Sebaliknya jika tuan/puan sebagai pekerja dan diarah melaksanakan tugas di syarikat arak,  maka hendaklah mengelak secara berhikmah melalui perbincangan bersama pihak pengurusan. Namun sekiranya tiada ruang perbincangan, tuan/puan diharuskan melakukan kerja tersebut dengan syarat wajib menyucikan harta dengan kadar yang diterima daripada tugasan tersebut. Seandainya terdapat peluang pekerjaan lain yang lebih baik serta bersih daripada sebarang syubhah, maka wajar untuk memilih pekerjaan tersebut.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 136

message user image