BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

saya hendak bertanya berkenaan mandi wajib / mandi junub.

saya mengalami masalah di mana saya mandi wajib dalam jangka masa yang amat panjang.

saya telah mempelajari cara-cara mandi wajib namun demikian semasa saya melakukan mandi wajib, saya selalu pastikan semua anggota badan saya kena air.

saya juga melakukan dan gosok berulang kali kerana risau tidak kena air contohnya pada telinga, belakang telinga, leher, ketiak, celah kangkang, celah kuku, pada tapak kaki kerana risau ada yang boleh menghalang air daripada terkena pada kulit untuk nak yakinkan diri.

pada tapak kaki juga saya sental kerana risau ada benda yang melekat pada tapak kaki (kotoran kecil) jadi saya akan gosok sambil lihat (sambil saya duduk).

saya tak tahu macam mana nak mandi wajib dan yakin dalam masa yang singkat.

saya juga ada masalah keyakinan jika tidak gosok badan atau menggunakan sabun, air yang mengalir ini cukup untuk ratakan badan semasa mandi wajib.

ada yang mengatakan tak perlu gosok, cukup hanya lalukan air.

terima kasih tuan kerana sudi membaca dan bantu saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk persoalan saudara, antara salah satu rukun mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh badan termasuk kulit, kuku, bahagian pusat dan bulu-bulu yang ada pada tubuh badan. Maka wajib menghilangkan terlebih dahulu sebarang najis, bendasing atau kotoran yang dapat menghalang air dari sampai ke kulit. Walau bagaimanapun sekiranya  bendasing atau kotoran tersebut sukar untuk ditanggalkan secara sempurna setelah berusaha sedaya upaya menanggalkannya tanpa memudaratkan diri seperti cat, gam, minyak atau sebagainya, maka ia dimaafkan dan memadai dengan hanya melalukan air seperti biasa. Adapun meratakan air dengan menyapu dengan tapak tangan atau menggosoknya adalah perkara sunat.

Manakala bagi perasaan was-was yang mengganggu ibadah, ianya adalah gangguan fikiran yang datangnya daripada syaitan. Hindarkan jiwa dari melayaninya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah SWT tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau gangguan emosi yang salah bukan mentaati Allah SWT. Untuk itu, perbanyakkanlah Istighfar kepada Allah SWT, mudah-mudahan penyakit ini akan hilang mencengkam dari jiwa kita.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 170

message user image