BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin bertanya tentang qada puasa bagi wanita.

Pada tahun 2022 saya hamil bayi kembar dan telah tidak berpuasa sepanjang Ramadan 2022 kerana risaukan keadaaan kandungan selain saya mengalami muntah yg teruk.

Setelah melahirkan pada Ogos 2022, saya masih belum mampu qada puasa ramadhan yang telah saya tinggalkan kerana masih menyusukan bayi sehinggalah masuk ramadan 2023.

Soalan saya, adakah saya perlu qada puasa pada Ramadan 2022 dengan cara menggandakan (30 hari x2 = 60 hari)? Saya telah membayar fidyah dengan kiraan gandaan hari. 
Mohon penjelasan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Puan tidak perlu gandakan puasa yang hendak diqada'. Puan hanya perlu ganti puasa mengikut hari yang puan tinggalkan sahaja iaitu 30 hari. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 184:

أَیَّامࣰا مَّعۡدُودَ ٰ⁠تࣲۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِیضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرࣲ فَعِدَّةࣱ مِّنۡ أَیَّامٍ أُخَرَۚ وَعَلَى ٱلَّذِینَ یُطِیقُونَهُۥ فِدۡیَةࣱ طَعَامُ مِسۡكِینࣲۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَیۡرࣰا فَهُوَ خَیۡرࣱ لَّهُۥۚ وَأَن تَصُومُوا۟ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya : (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 202

message user image