Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan selamat pagi,
Harap ustaz/ustazah yang membaca surat saya ini sihat sentiasa. Saya mahu bertanya beberapa soalan.
Maaf saya ucapkan terlebih dahulu, kerna saya baru belajar agama, dan saya anak tunggal, dan tinggal bersama ibu saya dan ibu saya meninggal dunia aug 2021.
Saya belajar agama dari kawan2 saya. Saya nak tanya beberapa soalan dibawah :
1.) Saya hilang arah selepas kematian ibu saya, memberi impak kesihatan mental saya dan saya perlukan sokongan moral. Saya ada kenal satu lelaki ni, dan saya silap percaya dia, dan kami berzina beberapa kali. Saya menanti dia bertanggungjawab, tapi dia selalu mengelak ada kursus itu ini kerna dia seorang askar, dan saya cuba meminta bantuan pakcik saya berjumpa keluarga dia, tapi pakcik saya tak mahu, takut dihalau oleh keluarganya. Dan pilihan terakhir saya ada pada waktu itu, adalah report polis. Saya akui, waktu kami berzina, dia ada meliwat saya. jadi saya membuat report perihal liwat kerna itu, salah di sisi undang2, dan saya masih mahu dia bertanggungjawab. Dan beliau hanya dilokap, dan bila familynya tahu, beliau hanya membayar pampasan RM10K sahaja dan kini beliau berkahwin dengan wanita lain yang dia minati. Soalan saya, memang tiada hak ke, wanita untuk meminta dipertanggungjawabkan, dan memang hanya begini saja ke lelaki yang merosakkan wanita dilepas begitu saja. Saya sehingga kini, rasa tak layak untuk berkahwin kerna rasa diri kotor, tapi malahan laki yang merosakkan saya hidup bahagia. Saya hancur masa depan, saya dah la hidup hampir sebatang kara sebab keluarga besar kebanyyakkan sibuk keluarga sendiri, dia hadir beri harapan tapi hanya untuk merosakkan saya.
2.) Dan kedua. Doa seorang ibu saya tahu tiada hijab. Tapi doa orang yang tiada ibu bagaimana ya? Sebab perihal atas, saya pernah hubungi mak si dia maklumkan perkara sebenar, tapi mak dia pernah cakap "makcik doakan kamu anaiya anak makcik hidup tak tenang sehingga akhir hayat". Setahun dah perkara tu berlalu, dan setiap hari saya menangis teringat perkara tu, kerna saya hanya tuntut keadilan, dan kalau si dia suami saya pun, saya masih boleh buat report mengenai liwat sebab benda tu salah, dan saya hanya nak dia bertanggungjawab. Saya doa dan doa, tapi rasa macam tak nampak dimakbulkan.
Itu saja soalan saya. Maaf andai soalan saya merepek atau apa. Saya hanya buntu. Saya cari jawapan di google dan banyak saya bertanya, masih tak ada mampu jawab. Saya tahu, kifarah ada. Tapi seolah, duit mampu menutupi kifarah. Kalau saya silap, saya mintak maaf. Cuma saya kesal, saya wanita dirosakkan, dia biar begitu saja walhal dia tahu saya sebatang kara, dan dia boleh bahagia dengan wanita baru.
Harap pihak mufti selangor dapat membantu, Ribuan terima kasih sudi membaca pertanyaan saya.
Jawapan
Sebelum menjawab persoalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa perbuatan zina merupakan dosa besar yang diharamkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Isra' ayat 32:
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Berdasarkan dalil di atas, jelas sekali Allah SWT melarang hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina.
Selain itu, berkenaan dengan perbuatan liwat, ia juga merupakan perbuatan yang keji. Firman Allah SWT di dalam Surah al-A`raf ayat 80-81:
Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan), ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.
Oleh yang demikian, ulama bersepakat secara ijmak bahawa perbuatan homoseksual seperti liwat yang berlaku dalam kalangan kaum Nabi Lut adalah maksiat dan merupakan dosa besar.
Sehubungan itu, merujuk kepada persoalan pertama yang diajukan, menyesali dosa yang telah dilakukan merupakan perbuatan yang tepat dan perlu disertai dengan taubat nasuha serta keazaman yang tinggi agar tidak mengulangi perkara maksiat tersebut. Di samping itu, disarankan juga untuk sentiasa bergaul dengan golongan/ persekitaran yang positif agar tidak mudah rasa rendah diri mahupun tertekan sehingga boleh membawa kepada fikiran/ tindakan yang tidak baik. Perlu diyakini bahawa Allah SWT itu Maha Pengampun dan Rahmat-Nya amatlah luas. InshaAllah, hati akan berasa tenang.
Merujuk kepada soalan kedua, doa seorang ibu dan juga bapa kepada anaknya merupakan salah satu bentuk doa yang mustajab. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bermusafir dan doa ibu bapa kepada anaknya. (Riwayat Ibn Majah)
Sehubungan itu, bagi mereka yang tidak mempunyai ibu, doa dari seorang bapa juga merupakan doa mustajab, begitu juga doa daripada seorang yang alim. Tidak dilupakan juga doa diri sendiri, di mana Allah SWT menyeru agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya dan pasti akan diperkenankan, sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Ghafir ayat 60:
Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.
Maka, dapat dijelaskan di sini bahawa tidaklah terhad doa itu hanya daripada seorang ibu sahaja. Walau bagaimanapun, dalam berdoa umat Islam dianjurkan mendoakan perkara yang baik berbanding perkara yang memudaratkan. Selain itu, dapat dilihat juga di dalam hadis di atas bahawa doa orang yang dizalimi juga mustajab, maka orang yang dizalimi juga berhak berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kebaikan atas ujian yang berlaku.
Justeru, dinasihatkan agar tidak berputus asa, terus berdoa dan bersangka baik dengan aturan Allah SWT kerana aturan-Nya adalah yang terbaik buat hamba-Nya. Mungkin dirasakan doa belum dimakbulkan, namun pasti hikmahnya akan tersingkap suatu hari nanti. Ada kalanya apa yang ditakdirkan itu tidak memenuhi kehendak dan hajat kita sedangkan, boleh jadi apa yang kita hajati itu bukanlah sesuatu yang baik bagi diri kita sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 216:
Maksudnya: Diwajibkan atas kalian berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kalian benci. Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian; dan boleh jadi (pula) kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui.