Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya seorang suami dan mempunyai ibu yang tinggal bersama di rumah saya. Akan tetapi sejak berkahwin, ibu saya sering mencari kesalahan isteri walaupun atas perkara yang tidak munasabah, dan mengatakan isteri saya seorang isteri yang tidak baik. Contohnya saya ingin bersama-sama isteri melawat ibubapa isteri saya, tetapi tiap kali itu juga ibu saya menunjukkan ketidakpuasan hati dan ibu saya menuduh saya dipaksa meninggalkan dirinya. Saya juga mempelawa untuk membawa ibu saya bersama, tetapi ibu saya menolak dan enggan berbaik dengan ibubapa mertua saya walaupun mereka telah cuba berbaik dengan ibu saya. Contoh lain, Isteri saya juga meminta izin dari ibu saya untuk menjemput ibu bapa isteri saya datang ke rumah saya, tetapi ibu saya menuduh isteri saya cuba menghalau dirinya dan membenci isteri saya.
Kami telah cuba pelbagai cara untuk membaiki hubungan antara ibu saya dengan isteri saya & ibubapa isteri saya, tetapi ibu saya enggan bekerjasama dan memaki hamun kami. Ibu saya berkeras tanpa kompromi bahawa anak lelaki wajib mentaati segala kehendak ibu dan tidak boleh mempersoalkan tuntutan itu walau seperti berlaku tidak adil tanpa mempedulikan isteri saya. Ibu saya juga memburuk burukkan isteri saya dengan bercerita kepada ibu-ibu saudara saya dan mereka kini turut membenci isteri dan ibu bapa isteri saya yang tidak bersalah, sehingga sanggup menghina keturunan contohnya "keling beranak jumaat maka taruklah nama syed sharifah"..
Persoalannya, adakah ibu saya berlaku zalim terhadap saya, isteri saya atau ibubapa isteri saya, atau saya masih perlu patuh pada kehendaknya (tidak melawat mertua, tidak membaiki hubungan ibu dengan mertua, dan sbg nya).
Apakah tindakan yang wajar untuk saya ambil. Adakah saya perlu berpindah dari rumah saya supaya dapat hidup aman dengan isteri, atau bercerai atau teruskan tinggal bersama isteri dan ibu, atau apa apa tindakan lain.
Saya telah cuba mencari jawapan untuk persoalan ini bertahun (hak isteri kepada suami apabila ibu berlaku tidak adil dan kejam kepada anak dan menantu) tetapi tidak mendapat jawapan yang jelas. Saya meminta jasa baik pihak mufti untuk khidmat nasihat kerana saya telah kebuntuan. Saya cuma ingin keluar dari perbuatan berdosa & mencari kebahagian dalam hidup. Terima kasih. Assalamualaikum.
Jawapan
Sebelum menjawab persoalan yang diajukan, ingin dikongsikan terlebih dahulu sebuah hadis di mana Abdullah bin ‘Amru bin Ash RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: Redha Allah SWT bergantung pada redha kedua-dua ibu bapa dan murka Allah SWT bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa. (Riwayat al-Tabrani)
Berdasarkan hadis ini, dapat diperhatikan betapa besarnya kedudukan ibu bapa di sisi Allah SWT sehingga menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk mentaati mereka. Namun demikian, ibu bapa tidaklah boleh berlebih-lebihan untuk mengarahkan anak-anak patuh kepada mereka. Begitu juga dalam situasi yang dinyatakan ini, tindakan ibu dilihat tidak wajar kerana boleh menyebabkan hubungan suami isteri berantakan dan silaturrahim antara ibu dan keluarga mentua tercalar. Sedangkan jelas di dalam Islam bahawa tindakan memutuskan silaturrahim dikira berdosa, malah terdapat sebuah hadis yang menyebut mengenai ancaman terhadap orang yang memutuskan silaturrahim sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jubair bin Mut'im RA, Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sehubungan itu, bagi menjawab persoalan yang dikemukakan, tidak menjadi kesalahan sekiranya seorang anak tidak patuh kepada arahan orang tuanya yang menyuruh melakukan sesuatu bercanggah dengan syariat atau tuntutan agama sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA, sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Tidak ada ketaatan dalam kemaksiatan kepada Allah SWT, sesungguhnya ketaatan itu pada perkara kebaikan. (Riwayat Muslim)
Justeru, tuan boleh sahaja melawat mentua dan membantu memperbaiki hubungan mereka. Di samping itu, adalah disarankan agar tuan menasihati ibu dengan berhikmah, berbincang secara baik untuk mencari penyelesaian dan sentiasa mendoakan perubahan buat ibu tanpa jemu/ putus asa. Dalam masa yang sama, tuan perlu juga sentiasa memberi motivasi kepada isteri agar turut sama bersabar dengan ujian yang dihadapi ini. Sekiranya usaha ini berhasil, boleh sahaja tuan dan isteri terus tinggal bersama ibu. Namun, sekiranya ia menemui jalan buntu maka adalah lebih baik tuan dan isteri tinggal berasingan dengan ibu agar perkara ini tidak membuahkan mudarat yang lebih besar (dengan syarat tidak mengabaikan kewajipan terhadap ibu).
Akhir sekali, walau bagaimanapun keadaan yang berlaku, ibu adalah insan yang perlu dihormati dan disayangi. Maka, seorang anak perlulah berusaha sebaiknya untuk menjaga hubungan dengan ibu di samping tidak mengabaikan perasaan isteri. InshaAllah, semoga dipermudahkan urusan tuan dan keluarga.