Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah ayat ni melarang kita berkawan dengan orang bukan Islam? Al-Mumtaĥanah:13 “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur.”
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, untuk memahami maksud ayat ke-13 surah Al Mumtahanah ini, ia berkait rapat dengan ayat pertama surah yang juga melarang orang Islam mengambil teman rapat dari kalangan musuh Islam. Sebab nuzul ayat pertama adalah kerana seorang sahabat bernama Hatib bin Abi Balta’ah , setelah mendapat berita bahawa Rasulullullah S.A.W bertekad untuk melaksana pembukaan Makkah pada tahun ke-8 Hijrah dan mengisytihar perang terhadap kafir Quraisy di Makkah kerana pelanggaran janji mereka, beliau telah mengirim sepucuk surat melalui seorang wanita kepada kafir Quraisy yang tertulis “Surat ini dari Hatib bin Abi Balata’ah kepada penduduk Makkah, ketahuilah Rasulullah S.A.W mengendaki kamu, maka berwaspadalah”. Maka Jibril A.S menyampaikan berita perbuatan itu kepada Rasulullah S.A.W, lalu Baginda mengarahkan beberapa orang sahabat untuk pergi merampas semula surat dari wanita tersebut. Setelah berjaya membawa surat itu kepada Rasulullah S.A.W, Baginda lantas meminta penjelasan daripada Hatib bin Abi Balata’ah berkaitan surat yang ditulisnya. Hatib bin Abi Balata’ah memohon maaf kepada Rasulullah S.A.W dan menjelaskan bahawa tujuan surat itu ditulis adalah kerana beliau bimbang akan keselamatan anak-anaknya di Makkah dan hanya mengharapkan bantuan daripada kafir Quraisy Makkah yang merupakan sahabat lama beliau sebelum memeluk Islam, untuk menjaga keselamatan anak-anaknya jika berlaku peperangan atau pertempuran ketika pembukaan Makkah nanti. Bukanlah niat beliau untuk menyelamatkan musyrikin Makkah kerana yakin Allah akan tetap mengalahkan mereka. Bukan juga bertujuan berpaling tadah kepada kaum kafir dan bukan juga ingin murtad . Maka turunlah Ayat 1 Surah Al Mumtahanah berkaitan larangan menjadikan musuh Islam sebagai teman setia dengan cara menyampaikan berita rahsia. Di penghujung surah ini, iaitu ayat yang ke-13, ditegaskan sekali lagi larangan mengambil teman rapat dari kalangan mana-mana kaum yang dimurkai Allah. Sebab nuzul ayat terakhir ini adalah ; Sesungguhnya sebahagian daripada orang Islam yang miskin pada ketika itu mereka berbaik-baik dengan Yahudi untuk mendapat sebahagian dari buah-buahan dan kadang kala menceritakan sesuatu berita (rahsia) orang Islam kepada yahudi . Maka turunkan ayat ke 13 surah Al Mumtahanah. Larangan di dalam dua ayat di atas adalah merujuk kepada larangan menjadikan musyikin (orang kafir) termasuk yahudi, sebagai teman rapat sehingga menceritakan rahsia orang Islam kepada mereka yang boleh menyebabkan mudhorat dan kesan buruk umat Islam. Adapun untuk berkawan dengan orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam, dengan batas - batas syara’ dengan tujuan menunaikan hak mereka sebagai jiran atau apa juga tujuan yang dibenarkan syara’, maka tidaklah termasuk di dalam larangan ayat yang dibincangkan di atas. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.