Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum pada pihak Mufti Selangor. Terlebih dahulu saya ingin awali dengan mengucapkan ribuan terima kasih atas maklumbalas dari pihak Mufti untuk menjawab segala kemusykilan saya.
Soalan saya disini Emak saya telahpun membuat pinjaman dari Ahlong yang membuatkan saya serta adik beradik yang lain terlibat dalam masalah ini walhal kami tidak tahu menahu atas tindakan beliau. Kami dikira seperti telah dianaya oleh mak sendiri. Dan beliau bukan sekali sahaja melakukan masalah seperti ini sebelum ini pun ada sahaja masalah yg dilakukan sehingga menyeret kakak dn adik saya ke muka pengadilan tanpa mereka melakukan jenayah. Yang terbaru ini beliau telah membuat pinjaman ahlong dan kami telah menghantar beliau kepada adik untuk keselamatan beliau. Memandang kan mereka tidK mencari adik Akan tetapi yang menjadi persoalan disini Adakah berdosa buat kami anak anak..untuk menjauhkan diri dan mengasingkan diri daripada beliau demi keselamatan kami keluarga anak-anak. Kami juga serik dengan masalah yang besar sering dilakukan tanpa memikirkan anak anak nya. Adakah ni dinamakan memutuskan silaturrahim. Tujuan kami adalah untuk tidak berhubung supaya kami dapat menghindarkan diri dari perkara yang lebih memudaratkan.. oleh masalah yg di reka oleh beliau sendiri.kerana ahlong itu sedang mencari. Saya sangat keliru saya sangat memerlukan pandangan dari pihak yang lebih arif. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Mentaati dan berbuat kepada ibubapa adalah wajib selagi mana tidak melanggar perintah atau syariat Allah SWT. Hadis daripada Saidina Ali RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
Makdudnya: Tiada ketaatan dalam maksiat kepada Allah, bahawasanya taat itu dalam perkara makruf. (Riwayat Muslim)
Berdasarkan situasi yang dijelaskan, si ibu telah melakukan tindakan yang boleh memudaratkan anak-anak dari sudut nyawa dan harta. Mengelakkan diri daripada bahaya dan mudarat juga merupakan kewajipan syarak berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan
Oleh itu, kami menasihatkan agar mengutamakan kaedah pencegahan iaitu mengawal ibu daripada terus membuat pinjaman sedemikian. Ini juga bagi menjaga silaturrahim dan menjaga keselamatan ibu dan ahli keluarga yang lain. Jika tidak mampu berbuat demikian, barulah boleh mengasingkan diri sebagai penyelesaian sementara mencari alternatif lain yang lebih baik.
والله أعلم بالصواب