BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

assalamualaikum, maaf saya nak tanya, apakah benar ayat al naml 30, mampu menundukkan haiwan berbisa? contoh seperti ular. ataupun ada kelebihan tertentu untuk ayat tersebut yang sahih? terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan; secara asasnya tidak terdapat sebarang dalil tertentu dan sahih daripada hadis Rasulullah SAW berkaitan fadilat ayat 30 Surah al-Naml untuk menundukkan haiwan berbisa. Malah, ayat tersebut juga berbentuk umum yang menyebut tentang kandungan surat Nabi Sulaiman AS yang dimulakan dengan lafaz basmalah. Oleh itu, perkara yang utama bagi seorang Muslim tidak menetapkan ayat tertentu untuk tujuan tertentu sahaja melainkan terdapat riwayat amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan ayat al-Quran yang dibaca tersebut mengandungi doa.

Namun begitu, seseorang harus membaca ayat al-Quran dengan niat ibadah dan berdoa kepada Allah SWT dengan perantaraan ayat al-Quran yang dibaca untuk menunaikan hajat seseorang sama ada meminta suatu berbentuk kejayaan, perlindungan dan sebagainya. Ayat Al-Quran itu sendiri adalah kalamullah dan kita memohon sebagaimana nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT yang terdapat di dalam Al-Quran. Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-‘Araf ayat 180:

وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ فَٱدۡعُوهُ بِهَاۖ

Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.

Perbuatan seperti ini tidaklah menyalahi syarak kerana padanya terdapat ciri-ciri tawassul yang masyru’ (dibenarkan).

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 224

message user image