BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Saya omar mokhtar bin hamdan berasal dari shah alam selangor dan kini menetap sementara di KL.

Saya mohon bertanya kepada Sahibus Samahah Mufti, apakah hukum menyertai pertandingan marathon atau apa-apa pertandingan yang ditaja oleh Bank Konvensional? dan apakah pula hukum menerima biasiswa pengajian dari bank-bank konvensional seperti cimb, maybank, hong leong dan lain-lain? adakah ini boleh dikira sebagai mempromosikan riba dan meredhai amalan riba yang dilakukan oleh bank-bank tersebut?

mohon pencerahan Sahibus Samahah kerana baru-baru ini viral di media sosial oleh seorang ustaz mendakwa haram menyertai pertandingan yang ditaja oleh bank konvensional, dan kenyataan ini boleh dirujuk pada pautan ini

 https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02wSbvSU7Wm2naZKKz9K5KR8Vd6JoQ597qCG245ZpNEbVUA4qx5xLJyrZDwc1dun4Ul&id=1158060811&mibextid=Nif5oz


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Riba merupakan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT serta diketahui oleh masyarakat secara umumnya. Sebarang kegiatan atau aktiviti yang mempunyai unsur mempromosikan kegiatan riba juga adalah dilarang kerana termasuk dalam membantu perkara yang mungkar. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Selain itu, sesuatu acara yang dilakukan untuk mempromosikan bank konvensional yang berteraskan riba adalah haram berdasarkan kaedah fiqh:

للوسائل حكم المقاصد

Maksudnya: Hukum suatu wasilah itu bergantung kepada maqasid (objektif yang ingin dicapai daripadanya).

Manakala menerima biasiswa pengajian atau apa-apa hadiah daripada institusi-institusi tersebut pula adalah harus kerana akad yang berlaku antara pemberi dan penerima merupakan akad yang diharuskan syarak. Seseorang itu tidak dibebankan dengan dosa atau kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Melalui kaedah ini, harta tersebut adalah haram jika dinisbahkan kepada bank kerana mereka mendapatkannya melalui riba, dan menjadi halal jika dinisbahkan kepada pihak penerima biasiswa. Hal ini berdasarkan firman Allah Surah al-An’am, ayat 164:

 وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain.

Namun, penerima biasiswa hendaklah mengelakkan diri daripada menjadi alat promosi oleh bank-bank konvensional ini kerana bimbang termasuk dalam golongan yang mempromosikan riba.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 156

message user image