Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamua'laikum Ustaz,
saya ada beberapa perkara ingin ditanya
1. Saya telah lakukan cara penyucian yang salah 7 bulan yang lalu (air kencing yang melimpah dari pampers ke lantai) dengan hanya membuang najis dan mengemop lantai tanpa mencurahkan air di kawasan najis dan saya telah beberapa kali mengemop lantai dirumah secara keseluruhan. dan ini mennyebabkan najis hukmi itu sekarang telah tersebar melalui mop
2. Minggu lepas juga saya telah menyucikan lantai yang terkena percikan muntah dengan cara yang salah, iaitu dengan hanya mengelap dengan tisu basah.
Persoalannya, adakah saya perlu mencurahkan air ke seluruh lantai rumah saya untuk mensucikan najis hukmi tersebut? Kerana untuk mencurahkan air ke seluruh rumah agak sukar kerana ia akan terkena perabot dan sebagainya. ataupun ia boleh dimaafkan? Adakah najis hukmi itu akan berpindah jika dipijak dengan kaki yang basah? Bantu saya ustaz, kerana perkara ini saya asik berfikir dan tidak tenang memikirkan solat saya selama ini diterima ataupun tidak.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Tindakan mengelap menggunakan mop atau tisu basah semata-mata bagi membersihkan najis (air kencing dan muntah) adalah tidak dianggap sebagai menyucikan najis dan ianya tidak sah. Cara yang betul bagi menyucikan tempat yang terkena najis adalah dengan membuang terlebih dahulu ain najis (air kencing dan muntah) tersebut dengan menggunakan tisu atau kain bersih sehingga hilang najis itu. Kemudian dialirkan/ tuang air ke atas kawasan yang terkena najis itu sekadarnya dengan air mutlak, iaitu air itu mengalir di tempat terkena najis tadi, lalu dikeringkan kawasan tersebut dengan menggunakan kain atau mop bersih yang lain sehingga tiada kesan bau dan warna. Setelah proses itu dilakukan, maka kawasan yang terkena najis telah bersih dan suci daripada najis.
Namun, merujuk kepada persoalan tuan, kejadian tersebut telah pun berlaku 7 bulan yang lalu dan juga seminggu yang lalu, maka ia adalah dimaafkan. Dinasihatkan agar tuan lebih prihatin dan berhati-hati untuk masa hadapan.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.