Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam.
Saya ingin bertanya berkenaan pekerjaan. Baru-baru ini saya menerima tawaran pekerjaan dalam bidang perindustrian pembuatan rokok. Soalan saya, apakah hukum pendatan hasil saya yang bekerja di dalam sektor pembuatan rokok yang jelas memberi kemudaratan kepada kesihatan dan sesetengah fatwa negeri mengatakan haram? Boleh jelaskan kepada saya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
Di Negeri Selangor fatwa pengharaman rokok telah diwartakan sejak tahun 1989 dan dalil di atas adalah punca kuasa kepada pengharaman rokok. Sebagaimana yang dipersoalkan oleh tuan berkaitan dengan bekerja dalam sektor pembuatan rokok, adalah bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Walaupun fatwa dan hukum pengharaman rokok adalah untuk pelaku atau penghisap rokok, namun hukum bekerjasama serta bertolong-tolongan kepada perkara mudarat juga tidak diperbolehkan dalam Islam sebagaimana tegahan Allah SWT dalam surah al-Maidah tersebut.
Oleh itu, Islam sangat menyarankan tuan untuk meninggalkan perkerjaan yang melibatkan perkara yang haram dan syubhah bagi menjaga syariat dan maslahah agama. Sebagaimana hadis daripada Al-Mu'man bin Basyir RA, sabda Nabi Muhammad SAW:
فمنِ اتَّقى الشُّبُهاتِ استبرَأ لدينِهِ وعِرضِهِ
Maksudnya: Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubhah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat Muslim)
والله أعلم بالصواب