Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan,
Saya mengalami was was najis yang kerap terutamanya berkenaan najis hukmiyah yang berpindah.
Saya tau bahawa ade najis hukmiyah pada selipar saya yang saya belum basuh. Kemudian saya lupaa untuk membasuhnya kerana sudah tiada kesannya.Lalu saya memijak pada lantai bilik saya seluruhnya. Saya tidak pasti cara yang betul menyucikan lantai bilik saya. Saya pernah terbaca bahawa perlu air mengalir. Jadi jika saya hanya menggunakan mop sahaja adakah masih tidak suci lantai saya. Maka hingga tahap mana najis itu akan berpindah.
Adakah saya perlu menjirus air itu pada lantai yang kering. Apakah tidak suci jika lantai itu saya mop dahulu, dan dalam keadaan basah saya alirkan air?
Atau adakah cukul untuk saya mop sahaja. Saya jadi bingung hingga tidak dapat menunaikan solat kerana asik terfikir najis sudah diamana mana. Mohon diberi percerahan untuk masalah ini.
Terima kasih banyak.
Semoga sentiasa didalam rahmat Allah.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Najis hukmi ialah najis yang telah kering iaitu tidak terdapat padanya kesan najis seperti warna, bau atau rasa. Kenajisan najis hukmi tidak boleh berpindah melainkan dalam keadaan basah atau lembab. Ini bermaksa sekiranya kaki yang kering memijak kawasan najis hukmi, ia tidak menyebabkan perpindahan najis. Sebaliknya sekiranya tapak kaki itu basah, maka ia boleh menyebabkan perpindahan najis. Seandainya ragu-ragu, sama ada kaki itu kering atau basah, maka berpegang kepada kaedah asal, iaitu kaki itu kekal suci berdasarkan kepada kaedah Fiqh:
الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ
Maksudnya: Asal bagi sesuatu adalah suci sehingga ternyata (diyakini) kenajisannya.
Cara menyucikan najis hukmi adalah dengan mengalirkan air sekali di tempat yang diyakini terdapat najis hukmi untuk membersihkannya dan mengeringkannya dengan menggunakan kain atau sebagainya. Setelah puan menyucikan tempat tersebut, puan hendaklah yakin bahawa tempat tersebut telah suci daripada najis bagi memudahkan puan untuk menunaikan solat tanpa perlu ada rasa was-was.
والله أعلم بالصواب