Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,saya nak tanya kalau suami saya lafaz talak kinayah,maksud jatuh ke talak pada saya?contoh mcm 'kita berpisah je la/kita buat haluan masing2'..kalau mcm ni dikira jatuh talak atau tidak..lagi satu tuduhan berat..contoh nya 'kau pegi keje mngangkang depan boss la tu/ntah2 kau tido dengan laki lain belakang aku'..saya buntu sama ada sah bergelar suami istri atau pun dah jatuh talak..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Ucapan suami kepada isteri: "kita berpisah je la atau kita buat haluan masing-masing" adalah merupakan ucapan kinayah (lafaz yang tidak sorih), perkataan tersebut boleh membawa pelbagai maksud yang lain selain talak, mungkin boleh membawa maksud berpisah tempat tidur, atau berpisah sementara dan sebagainya. Oleh yang demikian jatuh talak atau tidak, adalah bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
Walau bagaimanapun, adalah disyorkan agar puan merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Adapun soalan kedua, berdasarkan kata-kata yang diucapkan oleh suami, ia boleh membawa kepada qazaf, iaitu menuduh seseorang melakukan perbuatan yang keji (الفاحشة) atau zina tanpa bukti atau saksi. Sesungguhnya perkara berkaitan qazaf yang membabitkan tuduhan zina dipandang amat serius dalam Islam sehingga Allah SWT menetapkan hukuman khas terhadap penuduh atau pelaku tersebut sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 24:
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.
Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati di dalam percakapan kita dan sentiasa memberi peringatan sesama kita agar tidak mudah melafazkan ucapan atau tuduhan seperti itu kepada orang lain.
والله أعلم بالصواب