Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam. Saya ingin bertanya sekiranya seorang isteri baru habis haid dan telah kering adakah dianggap suci? (Sebelum mandi hadas) “Sampai mereka suci‘artinya bahwa darah mereka (wanita haid) telah berhenti, hilanglah penghalang yang berlaku saat darah masih mengalir. (Tafsir As Sa’di jilid, hal 358) Adakah persetubuhan dibolehkan? Dan sekiranya haram, apakah yang perlu dilakukan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Masih belum dianggap suci daripada hadas jika belum mandi wajib selepas tamat haidnya. Tetapi tidak boleh melewatkan mandi untuk menunaikan kewajipan solat. 2. Oleh kerana belum mandi wajib, maka wanita tersebut belum dianggap suci daripada hadas besar. Hukum bersetubuh ketika dalam haid adalah haram dan berdosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222; Maksudnya : “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. Tiada denda/ kaffarah dikenakan kepada suami isteri yang bersetubuh ketika isteri sedang haid. Mereka perlu bertaubat kerana terlanjur melakukan dosa tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.