Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada pertanyaan. Saya telah menghantar kucing saya untuk di 'grooming' di kedai. Sewaktu ingin mengambilnya, saya mendapati pekerja tersebut telah memegang seekor anjing untuk memotong bulunya sebelum membawa kucing dan bekas 'carrier' pulang kepada saya. Namun ketika mengambil 'carrier', saya telah pegang tempat yang sama seperti mana pekerja tersebut pegang. Adakah saya perlu sertu?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Secara asasnya, kenajisan sesuatu itu boleh berpindah dalam keadaan basah atau lembab. Ini bermaksa, sekiranya tangan pekerja itu dalam keadaan kering semasa memegang anjing itu, maka tangan pekerja itu tidak menjadi bernajis. Kemudian apabila dia memegang carrier tersebut, carrier tersebut juga tidak menjadi bernajis. Seandainya ragu-ragu, sama ada tangan pekerja itu kering atau basah, maka berpegang kepada kaedah asal iaitu asal sesuatu itu adalah suci berdasarkan kepada kaedah Fiqh:
الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ
Maksudnya: Asal bagi sesuatu adalah suci sehingga ternyata (diyakini) kenajisannya.
Begitu juga sebagaimana kaedah fiqh:
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh keraguan (syak).
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.