Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Ingin tahu apa perbezaan perkataan allah ini sahabat saya mengatakan bahawa bila di sebut akan berbunyi La,la sebab alif nya di tengah contoh di menara jam di kaabah sebab alif nya di tengah, dah tak pasal pasal dia nak buang kalimah tersebut hiasan dalam rumah atau sekadar khat.?
Sebagai contoh menara jam kaabah yang alif nya di tengah.? Tidak sama seperti kalimah allah yang biasa kita lihat dalam al quran... harap dapat penjelasan ustaz atau lebih arif terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan; terdapat keluasan seni khat yang digunakan selain daripada tujuan penulisan al-Quran. Oleh itu, perbezaan kedudukan alif perkataan Allah pada Menara jam tidak membawa sebarang kesalahan dari sudut seni khat.
Hal ini berbeza dengan perkataan yang terdapat dalam al-Quran, ulama sepanjang zaman, salaf dan khalaf, telah bersepakat bahawa penulisan khat kalimah al-Quran terikat dengan disiplin dan hendaklah ditulis dengan menggunakan metode Rasm Uthmani. Ini bagi mengelakkan pengurangan dan penyelewengan lafaz yang membawa kepada perubahan dan kerosakan makna kerana sifat al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab memiliki mukjizat yang tersendiri.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب