BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..apakah hukum orang awam menghalang orang yang telah meninggal dikebumikan di tanah perkuburan terdekat tempat beliau meninggal?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Kami mulakan persoalan ini dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW menyuruh supaya disegerakan urusan berkaitan pengebumian jenazah:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ ، فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا إِلَيْهِ ، وَإِنْ تَكُ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu. (Riwayat an-Nasa'i)

Para ulama' menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadis di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan, namun tidak tergopoh-gapah. 

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-1/2020 yang bersidang pada 23 Jumadal Akhirah 1441H bersamaan 18 Februari 2020 memutuskan bahawa:

Adalah lebih afdhal jenazah dikuburkan di tempat dia meninggal dunia dan pengebumian tersebut hendaklah disegerakan. Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi ahli waris yang berhasrat untuk membawa jenazah balik ke kampung untuk urusan pengebumian selagi mana jenazah belum dikebumikan dan perbuatan tersebut diyakini tidak mencemarkan kehormatan jenazah serta tidak membawa kepada kemudharatan.

Merujuk kepada persoalan yang diutarakan, tiada sebarang penetapan hukum ke atas individu yang menghalang orang yang telah meninggal dikebumikan di tanah perkuburan terdekat, namun perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan hukum syarak dan nilai-nilai Islam.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 157

message user image