BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Apakah hukum bekerja di luar negara tanpa visa kerja yang sah. Adakah hasil yang diperolehi halal digunakan atau tidak? 

Apakah saya berdosa dan apakah yng perlu saya lakukan? Perlukah saya meminta maaf dengan kerajaan negara tersebut jika dikhuatiri akan memudaratkan seperti dihukum penjara dan sebagainya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan; secara asasnya, hukum asal pekerjaan dalam muamalat adalah harus selagi mana tidak terdapat dalil dan perkara yang melarangnya. Berdasarkan kepada kaedah:

الأصل في المعاملات الإباحة حتى يرد الدليل على خلافه

Maksudnya: Asal segala sesuatu dalam bidang muamalat ialah harus, sehingga adanya dalil yang menyanggahi dan mengharamkannya.

Berkenaan bekerja di luar negara, kini terdapat syarat tertentu yang dikenakan oleh pihak berkuasa sesebuah negara terhadap pelawat luar seperti visa. Perkara ini wajib dipatuhi oleh pelawat luar sebagai keizinan untuk masuk ke negara tersebut dalam tempoh waktu dan tujuan tertentu atas dasar kemaslahatan dan keselamatan diri dan negara tersebut.

Meskipun begitu, melanggar sesebuah peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah negara dari sudut permohonan visa untuk bekerja dan sebagainya tidak menjejaskan secara langsung status halal pendapatan. Perkara ini boleh membawa kepada dosa dari sudut yang lain, seperti ancaman keselamatan, ketidakadilan kepada pekerja lain di luar negara yang telah memohon visa dan boleh menyukarkan urusan pihak berkuasa negara pelawat sekiranya terdapat sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan, jenayah dan sebagainya. Hal ini juga akan mendatangkan kesan buruk kepada orang yang tidak memiliki visa tersebut jika disabitkan kesalahan.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 145

message user image