BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya pemandu Grab. Pada waktu siang, saya menguruskan keluarga. Pada waktu malam saya berkerja sebagai pemandu Grab. Kadangkala saya membawa penumpang ke kelab malam (samada pengunjung atau perkerja kelab malam) beragama Islam dan bukan Islam. Kadangkala saya mengambil penumpang dari kelab malam tersebut (samada pengunjung atau perkerja kelab malam) dan menghantar ke destinasi. Di dalam applikasi Grab, pemandu tidak boleh menolak permintaan pernghantaran daripada penumpang dan sekiranya berlaku, akaun applikasi pemandu Grab tersebut akan di bekukan sementara. Saya hanya mengambil penumpang dari tempat-tempat sebegitu dan menghantar penumpang ke tempat-tempat sebegitu. Adakah pendapatan saya Halal atau Haram(Nauzubillahiminzalik)?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, pemandu grab merupakan pekerjaan yang menyediakan perkhidmatan penghantaran pelanggan ke suatu tempat tanpa boleh menolak destinasi yang ditetapkan oleh pelanggan. Jika pemandu mengetahui tujuan pelanggan ke destinasi tersebut untuk melakukan perkara haram atau maksiat, maka haram bagi pemandu untuk membawa pelanggan tersebut ke destinasi tersebut. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 2 berikut:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Hendaklah kamu saling bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, serta janganlah kamu bantu-membantu dalam melakukan dosa dan pencerobohan.

Namun, sekiranya pemandu tidak mengetahui tujuan pelanggan tersebut ke destinasi tersebut sama ada melakukan perkara haram dan maksiat atau mungkin sebaliknya, maka ia dimaafkan berikutan perkara tersebut adalah di luar kawalan pemandu. Sekiranya pemandu terpaksa berhadapan dengan pelanggan seperti ini adalah sebaiknya pemandu mengambil peluang untuk berdakwah sebagai contoh memasang rakaman ceramah agama dalam kereta atau sebagainya .

Manakala pendapatan yang diperolehi oleh pemandu harus dan halal sekiranya perkhidmatan yang disediakan tidak menjurus kepada keterlibatan kepada perkara yang haram atau maksiat.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 163

message user image