Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt. ustaz\ustazah.
Adakah jatuh nusyuz isteri yg dalam keadaan letih mental fizikal menolak ajakan suami untuk bersama?
Keadaannya begini, suami sihat tubuh badan tapi tidak mahu berkerja menyara keluarga. Isteri terpaksa berkerja 12jam setiap hari (7am-7pm). Selepas balik dari kerja, isteri terpaksa lagi mengurus urusan rumah (mengemas, membersih, memasak) kerana suami tidak mahu membuat kerja di rumah.
Adakah dalam situasi keadaan isteri yang seperti ini menolak ajakan suami untuk bersama tetap dikira nusyuz?
Mohon penjelasannya ustaz\ustazah. Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan; secara asasnya tanggungjawab isteri adalah mentaati perintah suami pada perkara yang ma’ruf selagi dalam batasan syarak. Perkara ini termasuk dalam perhubungan intim, suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa melainkan terdapat uzur syar'i seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram. Nusyuz boleh terjadi sekiranya si isteri menolak hubungan tanpa uzur. Begitu juga isteri juga berdosa sekiranya menggunakan helah untuk menipu suami
Walau bagaimanapun, pada masa yang sama Allah SWT memerintahkan suami untuk melayan serta menggauli isteri dengan cara yang baik. Firman Allah SWT dalamSurah al-Nisa ayat 19
وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِ
Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.
Pada masa kini, isteri turut keluar bekerja di samping masih bertanggungjawab menjaga urusan rumah tangga, maka sebaiknya kedua-dua pasangan saling berbincang bagi mencari kesefahaman dan kesepakatan dalam hubungan suami isteri untuk memelihara hak kedua-dua pasangan. Suami memaksa untuk dilayan sebagaimana kenyataan yang diberikan bukanlah suatu cara atau layanan yang baik terhadap isteri.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب