BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam tuan mufti,

Saya hendak bertanyakan tentang bab najis. Saya seorang yang mempunyai OCD dan germaphobic, dan saya sangat mementingkan kebersihan dan kekotoran. Sebelum ini, jika terdapat benda kotor, walaupun sedikit, seperti najis cicak, saya akan mengelap menggunakan tisu basah. 
Setahun yang lepas, saya sedar bahawa najis tidak boleh dilap begitu sahaja, dan najis boleh berpindah dengan berbasahan, walaupun najis hukmi yang tidak dilihat dengan mata. Sejak dari itu, saya sering overthink tentang semua benda yang saya sentuh dan merasakan najis berada di semua tempat.

Saya hendak mengetahui juga, apakah hukum terkena najis yang sedikit? Beberapa hari lepas, saya ada mencuci pakaian di dobi, dan selepas menggunakan mesin basuh, saya hendak memindahkan pakaian ke pengering pakaian. Pakaian saya ada yang terkeluar dan terkena bahagian permukaan pengering pakaian. Pada permukaan pengering tersebut terdapat kesan kotoran seperti air kencing/air najis cicak yang sudah melekat dan kering. Pada masa itu, baju saya dalam keadaan lembab kerana baru keluar dari mesin basuh. Akan tetapi kerana pada masa itu saya beranggapan bahawa ianya dimaafkan kerana najis yang sedikit. Saya merasakan jika mahu mencuci semula kesemua pakaian tersebut adalah memenatkan dan membazir air. Jadi saya tidak berbuat apa-apa dan terus mengeringkan dan menyimpan baju-baju tersebut seperti biasa

1) adakah kesemua pakaian saya menjadi najis kerana dikeringkan bersama pakaian yang terkena itu? 

2) adakah benar tindakan saya untuk tidak berbuat apa-apa walaupun jika itu adalah benar-benar najis?

2) Jika mungkin pakaian tersebut suci kerana tidak pasti jika itu adalah najis,, jikalau saya pergi ke dobi itu semula untuk memerhatikan semula kotoran tersebut dan mendapati ianya adalah benar-benar najis, adakah dikira kesemua pakaian saya itu kotor?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Merujuk kepada persoalan puan,:

1. Dalam situasi puan tidak dapat meyakini sama ada kesan yang terdapat pada pintu mesin pengering itu adalah sebenar-benarnya najis atau tidak. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan. 

Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal bersih dan suci.

2) Sepatutnya puan lebih prihatin untuk memastikan ia adalah najis atau tidak untuk menghilangkan rasa ragu-ragu dan was-was. 

3) Jika sekadar andaian sahaja, maka semua pakaian tersebut adalah kekal bersih dan suci. Seandainya puan pergi semula ke tempat itu dan mendapati pasti ia adalah najis, ia tidak dapat menjadikan pakaian itu bernajis kerana faktor masa yang telah berlaku, dan terdapat kemungkinan bahawa najis itu najis yang baharu. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 880

message user image