Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Hi assalam
1. apakah hukum jika kita pakai topeng mainan, contohnya topeng Spiderman,hantu,dan lain ii sebagai hiburan ataupun koleksi adakah itu diperbolehkah dalam islam?
Jawapan
Islam tidak pernah melarang manusia untuk berhibur kerana ia merupakan fitrah manusia.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, hukum memakai topeng mainan adalah harus dan dibolehkan dengan syarat ia hanya dikhususkan untuk hiburan dan pembelajaran. Namun, sekiranya topeng-topeng tersebut menyerupai dewa-dewa dalam agama atau kepercayaan lain atau rekaan seperti Beerus, Haruhi Suzumiya, Deus Ex Machina dan lain-lain, maka ia diharamkan. Begitu juga, sekiranya dengan mengumpul koleksi topeng tersebut ia menelan belanja yang besar sehingga membazir, maka hukumnya juga haram kerana Allah SWT menghendaki manusia bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu perkara dan tidak melampaui batas. Firman Allah SWT di dalam Surah al-'Araf ayat 31:
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
Sehubungan itu, memakai dan menyimpan koleksi topeng mainan (yang tiada lambang kepercayaan agama lain) dibenarkan dengan syarat sebagaimana yang dinyatakan di atas.