BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanyakan apakah hukum suami mengharamkan nafkah yang diberi kepada isteri jika isteri membeli keperluan keluarga tanpa memberitahu suami? Walhal isteri tidak membeli benda yang bukan-bukan selain keperluan keluarga. Apakah hukumnya?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Hukum suami memberi nafkah kepada isteri adalah wajib selagi mana isteri melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan tidak berlaku nusyuz. Kewajipan memberi nafkah ini adalah berlandaskan firman Allah SWT di dalam Surah al-Nisa' ayat 34:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

Di samping itu, nafkah yang diberi oleh suami kepada isteri pada asasnya adalah untuk makan dan minum, pakaian, tempat tinggal termasuklah alat kebersihan diri. Ia tidak dikhususkan dalam bentuk wang ringgit semata-mata. Namun, lazimnya suami memberi nafkah dalam bentuk wang tunai bagi memudahkan isteri membelanjakannya mengikut kehendak peribadi. Oleh itu, menjadi hak isteri mengurus dan menggunakannya bagi memenuhi tujuan baik yang dihajati.

Justeru, tidak menjadi kesalahan bagi isteri membelanjakan wang nafkah yang diberikan itu untuk keperluan keluarga sekalipun suami telah mengharamkannya. Walau bagaimanapun, disarankan perbincangan perlu dilakukan dengan baik bersama suami agar perkara ini tidak akan mengeruhkan hubungan suami isteri. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 172

message user image