Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. saya ingin bertanya dua soalan mengenai ibadah solat. Saya sering berasa saya hanya melakukan satu sujud tetapi hanya teringat bila dah masuk ke rakaat seterusnya. Soalan saya, perlukan saya tambah satu rakaat kerana kealpaan itu atau perlukah saya solat kembali jika betul-betul yakin tidak melaksanakan sujud kedua itu? Bagaimana pula bagi orang yang sering was was dalam solat? Bolehkah dia memilih untuk meneruskan solat tanpa mengulangi rakaat/solat tersebut atau membatalkan solatnya?
Harap diberi pencerahan. Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, bagi solat yang telah lalu, semoga Allah memaafkan bagi puan yang diganggu rasa was-was semasa solat. Adapun untuk solat yang akan datang, puan hendaklah sentiasa melakukannya dengan penuh khusyuk dan sedar, tanpa menyibukkan diri dengan perkara lain ketika solat, termasuk ketika sujud. Sekiranya selepas solat masih wujud rasa was-was dalam diri maka hendaklah diabaikan. Puan hendaklah mengambil kaedah yang terbaik iaitu melakukan solat dengan penuh yakin ketika melakukannya, mengabaikan rasa was-was selepas selesai solat dan sentiasa berdoa agar dibantu oleh Allah untuk menghilangkan rasa was-was dalam diri. Antara kaedah lain yang puan boleh lakukan untuk mengatasi masalah tersebut adalah solat secara berjemaah.
والله أعلم بالصواب