Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya telah bekerja selama setahun tetapi masih menerima wang dari ayah saya secara bulanan yg diniatkan sebagai nafkah. Saya juga menerima wang sebagai hadiah hari lahir dan duit raya dari golongan yg tua. Adakah wang drpd sumber tersebut perlu dikira dalam pengiraan zakat pendapatan?
terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudari, wang pemberian tersebut adalah hadiah/ hibah sebagaimana niat mereka yang memberinya. Jika dikumpul dan disimpan wang tersebut dan cukup syarat untuk dikeluarkan zakat, maka wajiblah dizakatkan sebanyak 2.5% sebagai zakat simpanan. Rujukan laman web Lembaga Zakat Selangor (LZS);
https://www.zakatselangor.com.my/
Zakat pendapatan pula adalah zakat ke atas gaji/ upah yang diterima daripada majikan. Boleh buat potongan zakat melalui gaji secara bulanan. Berdasarkan kepada fatwa negeri Selangor bertarikh 16 Januari 2001;
(1) Hukum zakat pendapatan adalah wajib ke atas umat Islam.
(2) Semua umat Islam yang tinggal atau bekerja di selangor hendaklah membayar zakat pendapatan kepada Pusat Zakat Selangor.
Rujukan Fatwa Selangor;
https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-tahunan/pewartaan/2000-2004/125-fatwa-tentang-zakat-pendapatan
والله أعلم بالصواب