BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Salam. Saya ada mencarum menggunakan wang sendiri kepada takaful, dan penama penerimaannya adalah isteri. Apabila berlaku musibah kematian terhadap diri saya, adakah wang takaful ini dikira sebagai harta yang perlu difaraid atau ia dikira hak mutlak penerima?

 

Terima kasih


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umumnya para ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai apa-apa yang ditinggalkan oleh si mati daripada jenis harta, hak dan manfaat. Harta pusaka termasuklah apa-apa yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya baik dalam bentuk harta mudah alih seperti emas, perak, semua bentuk wang, dan pekakas-pekakas, ataupun daripada kategori harta yang tidak boleh dialih seperti tanah-tanah, bangunan-bangunan dan selainnya.

Manakala takaful ditakrifkan sebagai permuafakatan sekumpulan individu untuk saling menjamin dan membantu antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan tertentu yang dipersetujui dalam kalangan mereka yang mencarum seperti memberi pampasan bagi sesuatu musibah yang menimpa.

Di samping itu,Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-49 yang bersidang pada 19 September 2000 telah membincangkan Wang Pampasan Kematian Pekerja Yang Dianugerahkan Oleh Kerajaan Atau Syarikat Swasta.

Muzakarah telah memutuskan bahawa wang pampasan yang diperolehi dari kematian pekerja, wang pampasan melalui tuntutan mahkamah, wang SOCSO dan seumpamanya tidak dianggap harta pusaka.

Oleh itu, wang pampasan yang diterima oleh penama daripada caruman takaful yang disertai oleh si mati ketika hidup tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta secara faraid kerana pampasan tersebut bukan harta si mati.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 116

message user image