Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.apakah hukumnya saya bersama ibu saudara saya dan kawan ibu saudara saya itu isteri orang ,makan semeja di kedai makan tanpa suaminya bersama saya dan ibu saudara saya?
Jawapan
Berdasarkan soalan tuan, hukum tuan bersama ibu saudara makan bersama isteri orang lain tanpa ditemani suaminya adalah diharuskan sekiranya mendapat kebenaran suami beliau, dengan menjaga adab-adab Islam dengan menjaga batas-batas syarak seperti berpakaian menutup aurat, tidak bertabarruj, menundukkan pandangan, bercakap dengan suara biasa dan normal serta tidak menimbulkan fitnah dalam kalangan masyarakat. Melakukannya tanpa keizinan suami wanita tersebut adalah dilarang.
Disarankan agar kita semua dapat berhati-hati dalam apa jua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan Allah SWT kerana menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan itu juga merupakan adab pergaulan dalam Islam. Sekiranya batas-batas syarak tersebut tidak dipatuhi, maka pergaulan di antara lelaki perempuan tidak dibolehkan.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab ayat 32:
يٰنِسَاۤءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَاَحَدٍ مِّنَ النِّسَاۤءِ اِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِيْ فِيْ قَلْبِهٖ مَرَضٌ وَّقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوْفًاۚ
Maksudnya: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana wanita yang lain jika kamu tetap bertakwa. Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan suara yang lunak (yang boleh menambat hati lelaki asing) sehingga boleh menimbulkan keinginan orang yang berpenyakit dalam hatinya (yang menyimpan niat buruk terhadap kamu), dan ucaplah perkataan yang baik (sopan).