Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya ingin bertanya:
Apabila suami isteri bergaduh, si isteri mintak cerai. Tetapi suami berdiam tidak mahu lafaz cerai Dan pekik kepada isterinya untuk keluar bilik. Isterinya menyerang si suami Hingga pukul Dan cekik suaminya. Suaminya terus melafazkan aku ceraikan kau tanpa niat untuk bercerai tetapi untuk mengelak dari terus dicekik. Apakah sah talak ini jika dipaksa lafaz cerai ketika dipukul?
Terima kasih.
Jawapan
Nabi SAW menegas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).
Hadis di atas jelas menunjukkan larangan bermain-main dalam tiga perkara, terutama dalam urusan yang melibatkan talak kerana ia boleh menyebabkan kepada terputusnya hubungan antara suami dan isteri. Suami hendaklah senantiasa berhati-hati dalam menuturkan perkataan terutama ketika berlakunya salah faham atau perselisihan faham antara pasangan, agar tidak berlaku pertikaian di kemudian hari.
Lafaz talak yang sorih (jelas) dan sempurna ayatnya, apabila dilafazkan oleh suami kepada isterinya, walaupun tanpa niat, dalam keadaan marah yang tidak menghilangkan kewarasan atau dalam keadaan dipaksa secara ghair tam (tidak sempurna) yang tidak menyebabkan bahaya terhadap nyawa atau kehilangan angggota badan suami, maka lafaz tersebut boleh menyebabkan talak itu jatuh.
Menjawab persoalan yang diajukan, terdapat hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku kesalahan tanpa sengaja, lupa dan dipaksa. (Riwayat Ibnu Majah).
Walau bagaimanapun, di dalam menentukan sama ada paksaan bersama ugutan yang dilakukan oleh isteri dengan memukul dan mencekik suami suatu paksaan yang tam (sempurna) yang menyebabkan talak tidak berlaku atau sebaliknya adalah bidang kuasa pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.