BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..

Saya ada soalan ingin bertanya. Apakah boleh seorang anak luar nikah di bin/ binti kan pada bapa zina dia?. Walaupun bapa zina dia sudah menikahi ibunya sewaktu anak ni dalam kandungan 6 bulan ? Bermakna anak ini lahir sebelum 6bulan usia pernikahan mereka. 

Bagaimana pula jika dalam surat beranak letak nama bapa dia di bin/.binti kan bapa zina nya? Adakah di boleh kan ?

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Islam menegah dan mengharamkan pasangan suami isteri atau wanita menisbahkan anak mereka kepada bukan bapanya yang sah dari segi syarak. Ini berasaskan hadis daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن ادَّعى إلى غيرِ أبيهِ، أو انتَمَى إلى غيرِ مواليه، فعلَيه لعنَةُ اللهِ المتتابعةُ إلى يومِ القِيَامَةِ

Maksudnya: Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, atau menisbahkan kepada bukan maulanya, maka ke atasnya dilaknat oleh Allah secara berterusan hingga hari kiamat. (Riwayat Abu Daud)

Manakala menurut keputusan Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 28hb April 2005 ada menyatakan bahawa : Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat atau anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu “Imkan ad Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar yakni pengakuan mereka yang berkenaan iaitu suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya, atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak, maka anak itu dihukumkan sebagai anak tak sah taraf menurut hukum syarak dan mereka tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya (bapa biologi) atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.

Bagi menjelaskan pertanyaan berkaitan meletakkan nama bapa biologi atau anak tak sah taraf itu di bin/binti kan bapa zina nya, maka menurut seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) [Akta 229] (Pekeliling JPN, 8/2009) menyatakan bahawa pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak menerima sebarang pendaftaran kelahiran yang ingin membinkan anak kepada bapa biologi sekiranya dokumen tidak lengkap seperti kes kehilangan sijil nikah atau perkahwinan yang melibatkan kelahiran di bawah enam bulan dari tarikh pernikahan. Amalannya, pihak JPN akan meminta pemohon untuk merujuk kes di Mahkamah Syariah dan mendapatkan perintah Pengesahtarafan Anak dahulu, kemudian barulah permohonan daftar itu dipertimbangkan.

Harus diingat, sekiranya nama bapa biologi telah dimasukkan dalam surat beranak, si anak atau keluarganya perlu senantiasa memaklumkan status anak tak taraf itu kepada si anak tersebut tentang persoalan hukum yang terkait kepadanya seperti hukum pusaka mempusakai, batas-batas aurat atau mahram dan urusan perwalian bagi pernikahan.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 60

message user image